PN jangka trend sokongan meningkat

PAGOH 20 Mei – Perikatan Nasional (PN) yakin mampu meraih sokongan sekurang-kurangnya 70 peratus undi, terutama undi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), akan datang, kata Pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kajian dan fakta menunjukkan gabungan Bersatu, Pas, Gerakan yang bakal bertanding PRN di enam negeri di Semenanjung berada di hadapan dari segi populariti dan kepemimpinan.

Katanya, ketika ini rakyat sudah boleh menilai dan PRN akan datang bakal menjadi penanda aras baharu mengenai hala tuju masa depan politik negara.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu yakin, walaupun tidak 100 peratus, tetapi 70 hingga 80 peratus sokongan rakyat semua negeri, terutama orang Melayu amat baik sekali.

“Kita dah dapatkan pandangan reaksi mereka seperti di Selangor, nampak pun agak ke hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh dan Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini.

Muhyiddin turut menjangkakan trend sokongan kepada PN semakin meningkat berdasarkan situasi semasa dalam negara, politik UMNO serta politik Kerajaan Perpaduan.

“Semua ini akan dinilai oleh mereka, saya jangka sebahagian besar mereka anggap rasa kecewa sedang berlaku dalam negara, mereka tak lihat keberkesanan, cakap banyak, tetapi cakap tak serupa bikin,” katanya.

Mengenai penggunaan logo dalam PRN akan datang, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, setakat ini empat daripada enam negeri masih kekal menggunakan logo PN.

“Kalau setakat hari ini, kita masih kekalkan, kecuali kalau Pas buat perubahan nak menerima logo PN. Namun macam di Kedah, walaupun dipimpin Pas, dalam PRU (Pilihan Raya Umum) lalu, kita pakai logo PN dan sampai sekarang masih (guna logo PN).

Di Kelantan dan Terengganu, masih menggunakan logo Pas, manakala bagi Pulau Pinang, menggunakan logo PN, begitu juga Selangor, Negeri Sembilan.

Related posts

Leave a Comment