KUALA LUMPUR 14 Mei – “Dulu lawan sekarang kawan”, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau merujuk slogan PKR sebelum ini yang terkenal dengan ‘lawan tetap lawan’ terutama pada tahun-tahun awal gerakan reformasi.
Katanya perubahan itu bagi memastikan Kerajaan Perpaduan kukuh dan stabil, selain berupaya berfungsi dengan baik untuk memelihara kepentingan rakyat secara bersama.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata penubuhan Kerajaan Perpaduan mempunyai kepentingan bersama bagi menyumbang terhadap kestabilan politik, memakmurkan dan merakyatkan ekonomi serta memastikan keamanan.
“Dulu ketika reformasi, (slogan) kita lawan tetap lawan, kini perlu ditukar sikit, dulu lawan sekarang kawan.
Jadi apa yang kita nak bawa balik dari konvensyen ini adalah keyakinan bahawa kerajaan Madani adalah kukuh, stabil dan dapat berfungsi dengan baik.
“Selain itu, menjaga kepentingan bersama menjadi asas perpaduan yang mengikat kita,” katanya pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 hari ini.
Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata, adalah menjadi tugas kerajaan untuk memastikan keadilan kepimpinan itu dapat dirasai segenap lapisan masyarakat yang mana ia menjadi tekad dan azam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berharap konvensyen yang diadakan hari ini dapat menjadi titik tolak kepada usaha mencari persamaan dalam 19 parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata semua ahli dan akar umbi di bawah payung Kerajaan Perpaduan perlu segera bersatu untuk mengukuhkan kerajaan dan bukanya sibuk mencari titik perbezaan antara parti.
“Cari titik persamaan dan bukan titik perbezaan, kita tidak akan ke mana jika masih cari titik perbezaan,” katanya.