PUTRAJAYA 13 Mei – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengingatkan umat Islam terutama bakal jemaah umrah supaya tidak menyalahgunakan visa pelancong dan visa umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
Dalam kenyataan hari ini, MOTAC mengingatkan demikian bagi memastikan tiada jemaah umrah mengambil kesempatan tinggal lebih masa di Tanah Suci sehingga masuk musim haji dijangka bermula minggu ketiga bulan depan
Kementerian itu turut mengingatkan syarikat pengendali umrah dan jemaah supaya menyelesaikan ibadah umrah sebelum sesi musim haji bermula, selain akur dengan peraturan semasa yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
MOTAC bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada agensi pelancongan dalam bidang umrah dan seterusnya mengawal selia aktiviti berkaitan.
“Kementerian berusaha menghalang perkara-perkara yang tidak diingini selain menjaga hubungan baik yang telah terjalin di antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi,” kata kenyataan itu.
Kementerian itu memaklumkan, salah guna visa pelancong dan visa umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji menjadi satu kesalahan di bawah peraturan Kerajaan Arab Saudi, iaitu menunaikan ibadah haji tanpa mempunyai permit yang sah.
Selain itu, Arab Saudi hanya mengiktiraf permit haji dikeluarkan institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Lembaga Tabung Haji (TH) untuk Malaysia.
MOTAC mengingatkan akan mengambil tindakan sewajarnya jika terbukti ia melibatkan syarikat pengendali umrah yang dilesenkan kementerian itu.
Kementerian itu juga menyeru rakyat Malaysia yang melancong dan mengerjakan umrah supaya sentiasa menjaga nama baik negara semasa berada di luar negara.
