KUALA LUMPUR 12 Mei – Bilangan lokaliti yang merekodkan status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga terus meningkat dengan 17 kawasan termasuk 13 di Semenanjung disenarai dalam kategori itu berbanding 15 semalam.
Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) dalam kenyataan di laman web rasminya memaklumkan, di Semenanjung, kawasan panas tahap satu adalah Padang Terap, Kota Setar, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah.
Selain itu, Hulu Perak, Larut Matang dan Selama serta Kinta di Perak; Kuala Selangor di Selangor serta Jempol di Negeri Sembilan, Muar di Johor dan Pasir Mas di Kelantan.
Di Sarawak pula, cuaca sama dikeluarkan bagi kawasan Mukah, manakala di Sabah membabitkan Beaufort dan Kinabatangan.
Status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga dikeluarkan bagi suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, orang awam boleh rujuk https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ .
