Azam Baki dilantik semula ketuai SPRM

PUTRAJAYA 10 Mei –  Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkuat kuasa Jumaat ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohd Zuki berkata, pelantikan semula Azam adalah untuk tempoh selama setahun dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Pelantikan itu adalah untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa 12 Mei 2023,” katanya.

Azam yang sudah berkhidmat selama 36 tahun dengan SPRM memulakan kerjayanya sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1984 dan kemudiannya menjadi Pengarah Perisikan pada 2013.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Siasatan pada 2015, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) pada 2016, dan dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya menggantikan Latheefa Koya.

Dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan beliau memperoleh Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) dari Universiti Teknologi Malaysia, Sarjana Muda Jurisprudens dari Universiti Malaya dan ijazah sarjana dari Universiti e Asia.

Related posts

Leave a Comment