Raja Charles III ditabal secara rasmi Raja Britain

LONDON: Raja Charles III hari ini secara rasmi ditabalkan sebagai raja Britain, menggantikan mendiang ibunya, Ratu Elizabeth II dalam istiadat pertabalan pemerintah lelaki pertama sejak 1953.

Uskup Agung Canterbury, Justin Welby memakaikan mahkota St Edward di kepala Charles sebagai simbol kesucian dan kewibawaan raja kuno pada pukul 12.02 tengah hari (waktu Britain).

Serentak itu, ‘God Save the King’ dilaungkan 2,300 ahli jemaah di Westminster Abbey, diiringi instrumen trompet ketika kemuncak istiadat pertabalan itu, disusuli dengan tembakan senapang serta deruman loceng.

Charles, 74, akan memakai mahkota St Edward hanya sekali semasa pemerintahan baginda, manakala Raja Permaisuri, Camilla, 75, dinobatkan sebagai ratu dalam upacara lebih ringkas selepas itu.

Istiadat itu yang turut disertai kira-kira 100 ketua negara dan orang kenamaan, menyaksikan Charles ditabalkan di Westminster Abbey, lokasi bagi semua pertabalan sejak William the Conqueror pada 1066.

Menurut Perintah Perkhidmatan, istiadat pertabalan sejak berabad lalu, diubah suai dengan keperluan semasa.

Buat pertama kalinya istiadat itu merangkumi perarakan pemimpin agama dan pembabitan pelbagai pihak yang mencerminkan kepelbagaian United Kingdom serta penduduknya, iaitu berbeza dengan 70 tahun lalu.

Sebagai Raja, Charles yang juga adalah gabenor tertinggi Gereja England dengan gelaran ‘Pelindung Kepercayaan’, sebelum ini, mempertahankan kedudukan baginda yang ingin menjadi pembela semua agama.

Baginda sering bertitah berhubung komitmennya terhadap pelbagai agama antaranya Kristian, Yahudi, Islam, Buddha dan Sikh.

Menurut Perintah Perkhidmatan, Raja akan berdoa buat kali pertama pada istiadat pertabalan secara terbuka bagi memohon rahmat dan berkat kepada semua daripada setiap kepercayaan.

Related posts

Leave a Comment