SINGAPURA 4 Mei – Hampir 90 peratus daripada kira-kira sekitar 140 warga Singapura yang ditangani atas kegiatan berkaitan pengganasan sejak 2002, sudah mencapai kemajuan dalam proses pemulihan dan diintegrasikan semula ke dalam masyarakat.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, kebanyakan daripada mereka sudah mendapat pekerjaan, dengan ada yang mengendalikan perniagaan sendiri manakala warga Singapura yang lebih muda sudah menyambung semula pengajian mereka.
Bagaimanapun Lee mengingatkan, ancaman penggansan masih wujud dan “terus berubah kepada bentuk-bentuk baru dan Singapura tidak mampu berpeluk tubuh.
“Kumpulan seperti ISIS masih aktif dan mempengaruhi pengikut di seluruh dunia untuk melancarkan serangan.
“Singapura dilihat sebagai sasaran berharga oleh kumpulan pengganas dan terus disebut dalam propaganda mereka,” kata Lee semasa merasmikan Galeri Majulah Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC) Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) semalam.
Galeri RRG terletak di Masjid Khadijah di Geylang Road, ditubuhkan pada 2003, RRG terdiri daripada sekumpulan ulama dan guru Islam sukarela di Singapura.
Matlamat kumpulan itu adalah untuk memulihkan anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiah yang ditahan, serta keluarga mereka, melalui kaunseling. Kumpulan tersebut juga berusaha untuk menentang salah tafsir Islam.
Galeri baru itu menampilkan maklumat mengenai peranan RRG dalam membanteras pengganasan dan ekstremis.
Sementara itu, Lee dalam catatan Facebooknya berkata, RRG memainkan peranan yang amat penting, bukan sahaja menentang keganasan dan ekstremisme, tetapi juga menggalak dan mengukuhkan ikatan serta perpaduan antara agama dalam masyarakat yang berbilang kaum.
Katanya, Singapura tidak mungkin dapat menikmati keamanan dan kestabilan yang ada sekarang ini tanpa sumbangan besar anggota RRG.
“Mereka bertungkus-lumus dalam memulihkan individu yang tersasar daripada landasan agama supaya dapat kembali semula ke pangkuan masyarakat. Ada juga yang menawarkan khidmat sebagai mentor dan tutor bagi tahanan remaja, membimbing mereka ke arah masa depan yang lebih cerah.
Terima kasih kepada semua sukarelawan RRG atas khidmat, usaha dan sumbangan anda yang tidak ternilai,” katanya.
