PUTRAJAYA 26 April – Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad memuji dan kagum terhadap prasarana dan kemudahan yang terdapat dalam perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT).
Beliau dan isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, mendapati kemudahan yang disediakan adalah amat baik dan disifatkan setaraf dengan negara maju ketika mereka mencuba sistem pengangkutan berkenaan, kelmarin.
“Pada hari ketiga raya saya dan isteri bersama kawan-kawan mencadang mencuba MRT dari Sungai Buloh ke Putrajaya,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Dr Mahathir berkata staff MRT sambut baij cadangan itu dan mereka turut bersama sepanjang perjalanan yang memberi peluang kepadanya bertanya beberapa soalan berkenaan prestasi MRT ini.
“Umumnya saya dapati seolah-olah saya berada di negara maju. Perjalanannya amat baik. Demikian juga kemudahan yang disedia untuk pelanggan. Stesen juga cukup besar dan dilengkapi dengan lif dan eskalator.
Saya percaya kemudahan rail ini akan disambut baik oleh rakyat jika kos yang amat tinggi tidak dipedulikan.
Tahniah saya ucap kepada anggota pengurusan MRT Sungai Buloh / Putrajaya.” katanya.
Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua (MRT2) mula beroperasi sepenuhnya pada 16 Mac lalu bagi memudahkan pengguna berulang alik dari ibu kota ke Putrajaya.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebelum ini memaklumkan, laluan sepanjang 57.7 kilometer itu keseluruhannya dilengkapi 36 stesen, iaitu 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah, dirangkaikan dengan lapan stesen yang membolehkan pengguna menukar kepada perkhidmatan monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM).
MRT Laluan Putrajaya Dua dibangunkan dengan kos RM30.53 bilion, melalui kawasan berkepadatan tinggi seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya dan Putrajaya.
Perkhidmatan dari stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral, yang dikendalikan anak syarikat Prasarana, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) itu menggunakan 49 tren empat gerabak, yang berkapasiti 1,200 orang.
