AYER KEROH 5 April – Pembentukan Kerajaan Perpaduan menerusi pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) hari ini, menandakan bermulanya satu penjanaan kuasa politik era baharu di negara ini.
Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh berkata, kebersamaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan kerajaan campuran itu menunjukkan kematangan politik sebenarnya bermula dari Melaka.
“Oleh itu, saya mengambil tanggungjawab (sebagai Ketua Menteri) bersama pucuk kepemimpinan UMNO terutama Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberikannya amanah dan tanggungjawab ini, sekali gus mencerminkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat dan di Melaka jalan seiring.
“Insya-Allah, kita ada kebersamaan (Kerajaan Pusat dan negeri) dan ini menunjukkan kematangan politik bermula di Melaka.
“Kita sudah masuk dalam era politik baharu terutamanya di negeri ini dan bermula di Melaka, satu penjanaan kuasa politik yang dipanggil `political cooperation’ bermula di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Simpan Rahsia Ahli Exco Negeri , di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka baharu menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang meletakkan jawatan atas faktor kesihatan.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, Kerajaan Perpaduan pada peringkat Pusat yang terbentuk sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuka lembaran baharu bagi politik di negara ini.
Katanya, kini terdapat naratif politik baharu iaitu naratif kerjasama politik merentasi faktor etnik yang dapat memupuk perkongsian kuasa antara pelbagai kaum serta pelbagai parti politik.
“Permuafakatan politik dan perkongsian kuasa antara kaum ini adalah bersifat inklusif, bukan eksklusif, seterusnya dapat memupuk semangat solidariti dan perpaduan antara kaum dalam usaha mentadbir negara yang mempunyai pelbagai etnik dan agama.
“Semangat sama kini diterjemahkan di Melaka yang mana kerajaan negeri berlandaskan Kerajaan Perpaduan dengan komposisi barisan Exco mengambil kira semua parti seperti Kerajaan Perpaduan pada peringkat Pusat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dimensi politik dan demokrasi di Melaka kini sudah lebih matang dan tiba masa untuk mengetepikan politik bersifat perkauman serta menyimpan perasaan prasangka sesama sendiri.
“Ini bukan masa kita bercanggah dan bertelingkah, tetapi menumpukan usaha serta tenaga ke arah membangunkan negeri ini dan menjamin masa depan hampir sejuta rakyat Melaka.
“Saya tidak mahu prasangka dan perbezaan antara agama dan budaya berterusan menjadi halangan kepada perpaduan rakyat berbilang kaum dalam konteks permuafakatan politik di Melaka khususnya dan Malaysia amnya.
“Kita sudah kehilangan banyak masa kerana politik tidak stabil dalam tempoh lima tahun lalu,” katanya.
