Pastikan ketepatan maklumat jam digital

PUTRAJAYA 31 Mac – Pengurusan masjid dan surau, disaran sentiasa membuat semakan ketepatan tarikh hijrah yang terdapat pada jam digital azan, agar sentiasa selari dengan kalendar hijrah yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) atau pihak berkuasa agama negeri dan disahkan Panel Pakar Falak.

Saranan itu dibuat susulan penularan satu tangkap layar yang memaparkan “Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023” yang dipercayai disiarkan menerusi sebuah paparan iklan di sebuah masjid.

Dalam kenyataannya, Jakim menyatakan paparan berkenaan, telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Aidilfitri tahun ini.

Jakim ingin memaklumkan bahawa pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi Malaysia dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi .

Cerapan Hilal Syawal bagi tahun ini adalah pada petang Khamis, 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April ini.

JAKIM turut meminta semua pihak untuk menghormati ketetapan yang dibuat oleh Majlis Raja-raja mengenai perkara itu dan tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Aidilfitri tahun ini.

Related posts

Leave a Comment