Wisma Putra jelas isu PM ke Arab Saudi

PUTRAJAYA 28 Mac – Kementerian Luar Negara (KLN – Wisma Putra) mempertahankan lawatan rasmi  Anwar Ibrahim ke Arab Saudi yang dilakukan secara profesional dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi lawatan rasmi pemimpin ke luar negara.

Justeru, Wisma Putra dalam kenyataan media hari ini menyifatkan polemik serta pelbagai tanggapan tidak berasas berhubung isu lawatan Perdana Menteri itu oleh sesetengah pihak di Malaysia adalah atas kepentingan politik sempit.

“Isu ini dimainkan secara negatif oleh kelompok tertentu, dan jelas tidak adil kepada Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi kerana perkara-perkara yang dibangkitkan lebih bersifat spekulasi dan jauh menyimpang daripada fakta sebenar berhubung lawatan berkenaan,” kata kenyataan itu.

KLN menjelaskan, sebagai persiapan awal, beberapa siri perbincangan diadakan melibatkan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur serta pertemuan dan perbincangan dengan Duta Besar Arab Saudi.

Menteri Luar Negeri juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri Arab Saudi semasa lawatan beliau ke Riyadh yang menyentuh secara spesifik tentang lawatan Perdana Menteri dan kesesuaian tarikh serta perancangan hasil (expected deliverables) lawatan.

Perbincangan turut diadakan di antara Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dengan Kementerian Luar Negeri Arab Saudi serta beberapa pihak lain yang berkenaan di negara tersebut supaya Lawatan Rasmi Perdana Menteri diadakan dengan jayanya.

Wisma Putra juga menjelaskan, cadangan tarikh lawatan sama ada sebelum atau semasa bulan Ramadan tidak menjadi isu kerana Kerajaan Arab Saudi mengambil sikap terbuka dan pernah menerima lawatan pemimpin asing dalam bulan Ramadan.

Kementerian juga telah menerima Nota Diplomatik daripada Kedutaan Besar Arab Saudi bertarikh 21 Mac 2023 yang mengesahkan tarikh Lawatan Rasmi Perdana Menteri. Nota yang serupa turut diterima pada tarikh yang sama oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh daripada Kerajaan Arab Saudi.

Kedua-dua Nota Diplomatik tersebut merujuk kepada Lawatan Rasmi Perdana Menteri pada 22 – 25 Mac termasuk program kunjungan hormat dengan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi.

“Kedua-dua Nota Diplomatik tersebut jelas menyatakan Kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan lawatan tersebut termasuk pelaksanaan ibadah umrah di Makkah Al-Mukarramah dan ziarah di Madinah Al-Munawwarah,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra menjelaskan Nota Diplomatik adalah merupakan antara komunikasi paling rasmi antara Kerajaan dengan Kerajaan.

“Secara keseluruhannya, program-program Lawatan Rasmi Perdana Menteri telah berjalan dengan lancar bermula dengan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abdulaziz, Jeddah pada pagi 22 Mac 2023.

“Delegasi Malaysia telah diberikan Taraf Tetamu Negara penuh yang meliputi penyediaan kenderaan, penginapan dan liputan keselamatan oleh Saudi Royal Guard dan pegawai-pegawai protokol daripada Majlis Diraja Arab Saudi (Royal Court).

Kemudahan-kemudahan Taraf Tetamu Negara ini turut diperuntukkan semasa ibadah umrah di mana lebih 50 orang anggota keselamatan mengiringi Perdana Menteri, begitu juga semasa ziarah di Madinah AlMunawwarah.

Delegasi Malaysia juga menerima makluman supaya tempoh lawatan dipanjangkan daripada tempoh asal bagi mengaturkan sesi-sesi kunjungan hormat dan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Kerajaan Arab Saudi.

Walau bagaimanapun, delegasi Malaysia menjelaskan secara baik bahawa permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi disebabkan komitmen Perdana Menteri yang ditetapkan lebih awal termasuk Majlis Iftar bersama Yang di Pertuan Agong dan Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Kemboja pada 27 Mac 2023.

“Berdasarkan perjalanan dan hasil lawatan, Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi menggambarkan kepentingan hubungan diplomatik dan kerjasama di antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment