Potong gaji anak hantar ibu bapa ke pusat jagaan

KUALA LUMPUR 15 Mac – Anak yang menghantar ibu bapa ke pusat penjagaan mungkin dikenakan potongan gaji berikutan penggubalan akta khusus bagi melindungi warga emas di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Aiman Athirah Sabu berkata, pihak Kementerian sedang meneliti kesesuaian undang-undang berkenaan.

Katanya, penggubalan akta itu dilihat sebagai langkah positif bersifat holistik untuk melindungi warga emas di negara ini.

“Antara kandungan akta berkenaan ialah melindungi kebajikan, hak asasi dan memperkasa warga emas serta ahli keluarga dan komuniti. Ia bertujuan mewujudkan sistem sokongan yang kuat untuk warga emas dan juga penjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) di Dewan Rakyat sama ada kerajaan akan menggubal undang-undang mewajibkan potongan gaji anak yang menghantar ibu bapa ke pusat jagaan.

Aiman Athirah berkata, usaha mewujudkan akta itu adalah antara langkah kementerian menangani isu negara tua pada 2030 menerusi pendekatan yang dapat mengharmonikan semua pihak.

Katanya, rang undang-undang berkenaan disasarkan untuk bacaan kali pertama tahun hadapan.

“Kementerian juga akan meneliti kesesuaian undang-undang ke atas anak-anak yang tidak bertanggungjawab terhadap ibu bapa bagi memastikan kesedaran masyarakat umum mengenai kepentingan menjaga warga emas terus meningkat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment