Lebih 50,000 korban gempa bumi

ROME 27 Feb. – Jumlah korban gempa bumi yang menggegarkan Turki dan jirannya, Syria pada 6 Februari lalu melebihi 50,000, perangkaan terkini yang dikeluarkan pada Jumaat, 24 Februari lalu.

Pada Sabtu, jumlah kematian akibat gempa bumi meningkat kepada 44,128 di Turki, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban di Turki dan negara jiran Syria kini lebih 50,000.

Lebih 160,000 bangunan, yang mengandungi 520,000 apartmen runtuh atau rosak teruk di Turki, yang terburuk dalam sejarah moden negara itu. Menteri Kehakiman Bekir Bozdag berkata lebih 600 individu disiasat berkaitan dengan bangunan runtuh

Sementara itu, Ketua Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, beliau menyaksikan keadaan ibarat malapetaka yang sangat dahsyat ketika melawat kawasan-kawasan yang lumpuh akibat gempa itu di bahagian selatan Turki.

“Terdapat hanya satu perkataan untuk menggambarkan apa yang saya lihat hari ini: Malapetaka,” kata Pengarah Eksekutif WP David Beasley sehari selepas melawat bandar Antakya di wilayah Hatay, Turki.

Dalam pada itu siasatan terhadap keruntuhan bangunan dalam gempa bumi dahsyat awal bulan ini semakin meluas apabila Turki menahan 184 individu yang disyaki bertanggungjawab ke atas insiden itu.

Perkara itu dinyatakan seorang Menteri Kabinet Turki ketika kemarahan orang ramai semakin memuncak terhadap isu rasuah berhubung prosedur pembinaan bangunan.

Mereka yang secara rasmi ditangkap dan direman dalam tahanan termasuk 79 kontraktor pembinaan, 74 individu yang bertanggungjawab ke atas bangunan, 13 pemilik hartanah dan 18 individu yang telah membuat pengubahsuaian bangunan.

Related posts

Leave a Comment