Kes harian turun, tiada kematian baharu

PUTRAJAYA 26 Feb. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 terus menunjukkan penurunan semalam sementara dalam tempoh yang sama tiada kematian baharu direkodkan.

Menurut data portal KKMNow,  kes harian semalam adalah 170 kes tempatan dan tiga kes import berbanding 204 kes termasuk lima kes import kelmarin.

Jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 5,042,188 iaitu 5,003,511 kes tempatan dan 38,677 kes import manakala jumlah kematian kekal 36,957 orang termasuk 7,873 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Sementara itu, jumlah kes aktif berkurangan semalam iaitu 9,174 berbanding 9,220  kelmarin dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,845 kes atau 96.4 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 317 pesakit atau 3.5 peratus mendapat rawatan di hospital, 12 daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana tujuh orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh yang sama, 219 lagi pesakit dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,996,057 orang.

Bagi kes harian negeri, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 61 berbanding 67 kelmarin kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 43 kes.

Related posts

Leave a Comment