Akar umbi mahu berubah, ‘warlord’ sayang jawatan

KUALA LUMPUR 8 Jun –  Sikap ‘warlord’ parti yang tidak mahu berubah kerana sayangkan jawatan, adalah antara punca UMNO sukar untuk berubah, kata Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Katanya, akar umbi parti sedia dan mahu melihat UMNO melalui proses perubahan yang sebenar, termasuk melihat ramai anak muda diberi tanggungjawab memimpin parti.

“Mereka yang tak mahu berubah adalah ‘warlord’ (merujuk pemimpin lama dalam parti) yang sayangkan jawatan, tetapi akar umbi di bawah nak berubah.

“Pemuda jangan gentar, saya menang sebagai Ketua Bahagian termuda. Maksudnya apa? Rakyat akar umbi di bawah nak berubah,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.

Beliau turut mengingatkan pemimpin UMNO supaya berhenti daripada terus bertelagah sesama sendiri, sebaliknya menumpukan kepada usaha memujuk mereka yang tidak lagi berada dalam saf kepemimpinan untuk kembali bersama.

Pemimpin UMNO juga, katanya, perlu berhenti daripada hanya sibuk bercakap soal kuasa politik sehingga mengenepikan peranan utama iaitu untuk membantu rakyat.

Beliau menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin UMNO untuk menarik golongan yang kini berada di luar kerangka parti supaya kembali memandangkan UMNO kini berada di ‘lowest point’ atau kedudukan terbawah.

“Pemuda UMNO menyeru kepada yang di luar sana (supaya) kembalilah dengan UMNO, bersama dengan kita. Mereka yang di luar.. marilah masuk semula. UMNO tak mampu untuk berpecah, bertelagah.

“Jangan kita sindir-sindir ahli parti kita….jangan kita perkecilkan mereka di luar kerana mereka juga mempunyai jasa kepada parti ini,” katanya.

Muhammad Akmal menegaskan UMNO perlu berubah mengikut kehendak rakyat dan berhenti daripada membawa politik kebencian.

“Sebab ini zaman politik sudah berubah, zaman (di mana) parti politik memerlukan pengundi (sedangkan) rakyat boleh hidup tanpa parti politik.

“Parti politik dan rakyat umpama badan dan jantung. Kalau badan berhenti, jantung masih boleh berjalan. Tapi kalau jantung yang berhenti dulu, kita orang politiklah yang jalan dulu.

“Cukuplah kita bercakap politik dengan memburukkan orang lain. Untuk menjayakan ini, kita kena berani berubah dan jangan takut, jangan gentar. Apabila kita berani membuat perubahan, rakyat akan kembali percaya kepada kita,” katanya.

Muhammad Akmal berkata, sayap UMNO itu juga menyahut seruan kepemimpinan untuk menggerakkan Kongres Melayu bagi menghasilkan Pelan Tindakan Melayu Maju.

“Ini Kongres yang benar-benar untuk orang Melayu. Bukannya seperti kongres acah-acah (seperti) sebelah sana (digerakkan pembangkang) yang hanya bercakap soal kuasa demi survival politik mereka.

“Menerusi kongres ini, kita akan menghimpunkan segenap lapisan pemikir-pemikir terbaik bangsa, daripada para cendekiawan, teknokrat, tokoh korporat, profesional, wakil rakyat, penggerak komuniti dan pertubuhan belia.

“Segala isu yang melingkari hal ehwal orang Melayu dari sudut ekonomi, pendidikan, perumahan, pekerjaan, polisi dan dasar, akan kita rangkumkan di dalam ‘Blueprint’ Melayu Maju ini. Inilah sebuah ‘Blueprint’ selepas era DEB (Dasar Ekonomi Baru) yang akan menjadi kiblat kita untuk tempoh mendatang,” katanya.

Beliau juga mendesak kerajaan untuk mengambil serius tentang pemerkasaan ekonomi orang Melayu, memandangkan ekonomi Melayu kini semakin terhimpit.

“Berdasarkan perangkaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), sehingga 2019, ekuiti orang Melayu Bumiputera hanyalah sekitar 17.2 peratus, jauh daripada sasaran DEB iaitu pegangan ekuiti sebanyak 30 peratus,” katanya.

Related posts

Leave a Comment