SD PM10: DAP gesa BN ambil tindakan

SEPANG 5 Feb. – Barisan Nasional (BN) digesa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap semua Ahli Parlimennya yang sebelum ini menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10.

Setiausaha Publisiti DAP Perak Chong Zhemin, berkata siasatan dan tindakan disiplin perlu dikenakan terhadap mereka yang terbabit bagi menjaga kestabilan kerajaan perpaduan dan mengelak insiden Langkah Sheraton berulang.

Menurut Ahli Parlimen Kampar itu, gesaan itu selaras dengan langkah UMNO yang mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen parti itu yang menandatangani SD menyokong Muhyiddin selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Badan disiplin BN juga perlu menyiasat Ahli Parlimen BN lain yang turut menyokong Muhyiddin bagi memastikan tiada pilih kasih (double standard),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau mempersoalkan kenapa hanya Ahli Parlimen UMNO dihukum kerana menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tetapi Ahli Parlimen BN lain terlepas.

“Adakah semua Ahli Parlimen BN setaraf atau ada yang lebih tinggi berbanding yang lain?.” katanya sambil menegaskan beliau tidak berniat masuk campur dalam urusan dalaman BN.

Beliau berkata, semua usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan kestabilan kerajaan perpaduan dan mengelak Langkah Sheraton 2.0 bagi menggulingkan kerajaan berulang.

Sebelum ini, ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan identiti 10 Ahli Parlimen BN yang menandatangani SD menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15, yang dibuat tanpa kebenaran parti.

Mereka terdiri daripada enam Ahli Parlimen UMNO, dua Ahli Parlimen MCA, seorang Ahli Parlimen MIC dan seorang Ahli Parlimen Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Mereka adalah Hishammuddin Hussein (Sembrong), Hasni Mohammad (Simpang Renggam), Jalaludin Alias (Jelebu), Isam Isa (Tampin), Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Wee Ka Siong (Ayer Hitam), M Saravanan (Tapah), Wee Jeck Seng (Tanjung Piai) dan Arthur Joseph Kurup (Pensiangan).

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 27 Januari lalu memutuskan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin utamanya, termasuk Hishammuddin yang digantung keahlian selama enam tahun.

Selain itu, Hasni digugurkan daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan digantikan dengan Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin.

SD itu ditandatangani ketika Parlimen tergantung selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada mana-mana parti berjaya memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Ketika itu, 10 Ahli Parlimen BN bertindak menandatangani SD menyokong Muhyiddin, tetapi menarik balik SD berkenaan, sebelum Istana Negara mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Zhemin berpandangan siasatan penuh terhadap semua Ahli Parlimen BN yang menandatangani SD serta kandungannya, perlu dilihat sebagai perkara paling penting.

“Dalam Akta Akuan Berkanun 1960, mana-mana pihak yang membuat SD palsu akan dituduh dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun serta denda,” katanya.

Related posts

Leave a Comment