PN umum ‘Kabinet’ bayangan

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan barisan ‘Kabinet bayangan’ mereka yang akan menyelaraskan pengurusan parti itu sebagai pembangkang yang berkesan di Parlimen.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan demikian selepas berakhir Pemukiman Ahli Parlimen PN, hari ini berkata, mereka yang terpilih mempunyai kemahiran atau pengalaman dalam bidang berkenaan.

PN katanya bersetuju dengan cadangan Sekretariat Ahli Parlimen PN diwujudkan Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen.

“Jawatankuasa Portfolio pembangkang ini diberikan kepada Ahli Parlimen kita yang ada kemahiran dan pengalaman dalam kerajaan serta latar belakang yang lalu dalam bidang masing-masing,” katanya dalam sidang media hari ini.

Berdasarkan poster Jawatankuasa Portfolio itu, Muhyiddin dinamakan sebagai Ketua Ahli Parlimen manakala timbalannya, Tan Sri Abdul Hadi Awang sementara Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang.

Sebanyak 26 anggota Parlimen akan mengetuai portfolio masing-masing didahului Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengetuai portfolio untuk Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee memegang portfolio lamanya iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Idris Ahmad (Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Radzi Md Jidin (Kementerian Kewangan dan Ekonomi).

Ahli Parlimen Kota Bharu,  Takiyuddin Hassan (Kementerian Dalam Negeri),  Saifuddin Abdullah (Kementerian Pendidikan dan Pendidikan Tinggi), dan Shahidan Kassim (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah).

Sementara itu Hamzah dalam hantaran di Facebooknya berkata, pelantikan portfolio itu selaras dengan akujanji untuk menjadi pembangkang yang bertanggungjawab, berkesan, efektif, berwibawa serta berintegriti tinggi.

“Portfolio ini adalah tanggungjawab berkumpulan. Ketua-Ketua Portfolio akan dibantu oleh Ahli Jawatankuasa Portfolio yang terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang lain.

Katanya PN yakin dengan pengalaman serta komitmen kesemua Ahli Parlimen PN  ini, yang akan melangkah secara sederap sebagai sebuah pasukan dan tugas untuk melakukan ‘check and balance’ benar-benar kukuh dan ampuh.

“Pastinya juga, rakyat akan dapat melihat perbahasan, kritikan serta lontaran idea yang berkualiti daripada Perikatan Nasional dalam sesi persidangan Parlimen nanti,” katanya.

 

 

Related posts

Leave a Comment