Pak Lah selesai mengerjakan umrah

SEPANG: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi selesai mengerjakan ibadah umrah di Makkah semalam.

Menerusi hantaran Facebook Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri kelima itu yang ditemani isteri Tun Jeanne Abdullah selesai mengerjakan ibadah umrah semalam, 1 Februari.

Abdullah dan isteri serta Datuk Thajudeen Abdul Wahab tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah, pada 29 Januari dan dijadualkan berada di Arab Saudi sehingga 7 Februari ini.

Beberapa keping gambar yang dikongsi melalui Facebook itu menunjukkan Abdullah bergunting rambut ketika tahalul iaitu setelah selesai saie antara Safa dan Marwah.

Terbaharu, hari ini Abdullah yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah berpeluang menunaikan sembahyang sunat di Hijr Ismail.

Sebelum ini, pada 11 September lalu, menantunya yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mendedahkan bekas Perdana Menteri itu menghidap demensia.

Menurut Khairy, Pak Lah mula menunjukkan tanda kemerosotan kognitif (cognitive impairment) sejak 2009 selepas bersara daripada jawatan Perdana Menteri, kemudian terpaksa menggunakan kerusi roda dan tidak lagi berkeadaan biasa.

Untuk rekod Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri Kelima pada Oktober 2003 dan berkhidmat sehingga April 2009.

Related posts

Leave a Comment