Hari terakhir Kembara Kenali Borneo di Sabah

PENAMPANG 7 Sept. – Konvoi Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari kelima dijadualkan ke Sarawak petang ini selepas hari terakhir menjelajah Sabah hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual berangkat melintasi sempadan Sabah-Sarawak selepas Majlis Santapan Tengah Hari Bersama Rakyat, di Masjid Sahabat di Sindumum, Sipitang.

Pasangan Diraja dan konvoi itu dijadual berangkat ke Lawas Waterfront di Lawas, Sarawak sebelum bergerak ke Brunei mengakhiri hari kelima kembara berkenaan hari ini.

Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Terdahulu baginda berdua berangkat mengunjungi perkampungan budaya Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang hari ini, hari terakhir bagi pengembaraan Kembara Kenali Borneo di Sabah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda dan rombongan pada pukul 9.30 pagi disambut Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Seri Paduka Baginda berdua amat teruja melihat sendiri budaya daripada pelbagai etnik di Sabah, malah berkenan menyertai aktiviti budaya di perkampungan itu.

Di Walai Bisaya, Kumpulan Seni Budaya Suasa, Biro Kebudayaan dan Kesenian, Persatuan Bisaya Bersatu Sabah mempersembahkan lagu ‘Joget Pahang’ menggunakan alat muzik tradisional kulintangan dan gong, menarik perhatian Seri Paduka Baginda berdua.

Di Rumah Tradisi Murut, Seri Paduka Baginda berdua berkenan menyertai aktiviti menyumpit menggunakan alat sumpitan suku kaum Murut sebelum menyaksikan demonstrasi lompatan lansaran oleh kakitangan perkampungan budaya itu.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong juga berkenan menyertai demonstrasi masakan tradisi bosou ikan goreng. Bosou adalah makanan seakan-akan pekasam yang menjadi makanan tradisi masyarakat Sabah terutamanya kaum Kadazandusun serta Murut.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi  Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang.

Related posts

Leave a Comment