Makan malam bersama rakyat Malaysia

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan dua hari ke Brunei Darussalam menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Bandar Seri Begawan malam ini.

Majlis berkenaan yang dihadiri lebih 400 rakyat Malaysia yang menetap di negara ini turut dihadiri isteri beliau, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut sama Premier Sarawak, Abang Johari Openg; Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor; Menteri Luar, Dr Zambry Abdul Kadir; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Raja Reza Raja Zaib Shah.

Dalam ucapannya, Anwar yakin rakyat Malaysia akan terus menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi negara, walaupun berada di perantauan.

Perdana Menteri berkata, konsep Malaysia MADANI yang menjadi teras pentadbirannya menjadi bukti keterangkuman peranan semua lapisan masyarakat tanpa prasangka.

“Saya ingin memulakan tradisi baharu yang asasnya ialah perpaduan. Slogan sahaja tidak meyakinkan kerana apa yang lebih utama ialah memaknai konsep itu dengan penghayatan dan amalan.

“Kebenaran, keadilan, perpaduan, kemanusiaan, ihsan dan rahmah itu konsep yang memukau tetapi ujian sebenar ialah pelaksanaannya.

Negara dan tamadun boleh terangkat dengan idealisme dan disiplin, namun ia juga boleh runtuh dengan kesenjangan dan rasuah,” katanya.

Menjawab soalan dalam sesi dialog selepas itu, Anwar berkata, cabaran utama dalam melaksanakan konsep Malaysia MADANI ialah aspek ekonomi.

“Dalam hal ini, perniagaan mesti maju, kita kena teroka bidang baharu dan mesti ada nilai serta ihsan. Saya rumuskan idea baharu dan cerakinkan supaya rakyat faham untuk memastikan pelaksanaannya kelak lebih lancar,” katanya.

Mengimbau perjuangan 40 tahunnya dalam politik sebelum berada di kedudukan sekarang, Perdana Menteri secara terbuka menyatakan tidak menyimpan dendam terhadap apa yang berlaku.

Pelbagai pendedahan di pentas antarabangsa menerusi kedudukan dalam kerajaan satu waktu dulu, tegasnya, banyak dijadikan sandaran dalam memperkenal pembaharuan ketika ini.

“Kita nak bawa perubahan, ubah pemikiran masyarakat. Kita mahu melawan fahaman berkaitan perkauman. Islam tidak boleh dijadikan bibit pergaduhan, maka saya ingin bawa kembali nilainya.

“Jangan jadikan Islam untuk menghina orang, pecah-belahkan masyarakat. Kita mesti melawat trend konservatif baharu yang mulai menular, lawan rasuah. Anda fikir ia mudah? Tidak.

“Kita kena yakin untuk menghadapi masalah, tetapi alhamdulillah, saya dah jadi Perdana Menteri, rakan-rakan dalam pasukan beri sokongan kuat. Dulu orang ingat kerajaan ini rapuh, tapi kini semakin kuat dengan 148 kerusi. Jadi buatlah kerja,” katanya.

Related posts

Leave a Comment