Tarik balik sos pasta berkrim carbonara cendawan

PUTRAJAYA 23 Dis.  Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan sedang memantau proses penarikan balik Sos Pasta Berkrim Carbonara Cendawan, produk berjenama Prego keluaran Malaysia yang didapati rosak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk (665 gram) dengan nombor batch 2022081716 bertarikh luput 17 Ogos 2023 dan kod masa 22:18 hingga 23:20.

“Pihak syarikat Campbell Cheong Chan (M) Sdn Bhd telah mengenal pasti punca kerosakan produk tersebut disebabkan kesilapan semasa pemprosesan dan sedang dalam proses penarikan balik produk di pasaran secara sukarela.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan turut menerima notifikasi dari syarikat berkenaan yang mengesahkan produk tersebut turut dijual di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penarikan balik produk tersebut disebabkan terdapat tanda-tanda kerosakan seperti bau yang tidak menyenangkan, warna berubah, rupa berair dan lapisan cecair yang terpisah.

Dr Noor Hisham menasihatkan pengguna yang telah membeli supaya tidak memakannya dan bagi yang telah mengambilnya dinasihatkan berjumpa pegawai perubatan sekiranya berasa tidak sihat atau mengalami gejala keracunan makanan.

“Orang ramai disarankan mengamalkan lihat, hidu dan rasa bagi mencegah kejadian keracunan makanan. Penjual pula hendaklah menghentikan penjualan produk terlibat dengan serta-merta,” katanya.

Orang awam boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, melayari laman web http://moh.spab.gov.my/ atau laman Facebook rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di www.facebook.com/bkkmhq untuk sebarang maklumat berkaitan.

Related posts

Leave a Comment