Anwar kekal Perdana Menteri ke-10

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Ahli Parlimen Tambun, Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri ke-10 apabila suara majoriti wakil rakyat menyokong usul undi percaya yang dibentangkan selepas dibahaskan oleh 12 orang anggota Dewan Rakyat petang ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul ketika mengemukakan usul itu untuk undian suara mengumumkan lebih suara bersetuju.

Usul percaya itu bertujuan membuktikan Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu mendapat sokongan bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Sebelum itu Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri yang bertujuan menyokong sepenuhnya pelantikan dan kepemimpinan Ahli Parlimen Tambun itu selaku Perdana Menteri.

Beliau berkata, kepemimpinan Anwar dan Kerajaan Perpaduan perlu disokong demi kejayaan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, Kerajaan Perpaduan berikrar untuk terus menstabilkan iklim politik, memakmurkan ekonomi, menyatupadukan rakyat berbilang kaum serta mengangkat martabat negara di persada dunia.

Usul berkenaan disokong oleh seorang lagi Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dewan kemudiannya membuka perbahasan usul yang didahului oleh Ketua Pembangkang,  Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Turut mengambil bahagian, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng;  Takiyuddin Hassan (Kota Bharu); Doris Sophia Brodi (Sri Aman);  Dr Ronald Kiandee (Beluran); Johari Abdul Ghani (Titiwangsa).

Ahmad Fadhil Shaari (Pasir Mas); Rafizi Ramli (Pandan);  Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor);  Dr Jeffery Kitingan (Keningau);  Shahidan Kassim (Arau) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi,  Azalina Othman Said kemudiannya menggulung perbahasan itu sebelum undian dijalankan.

Berdasarkan sokongan mengikut parti, jumlah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan pimpinan Anwar ialah seramai 148 orang yang merangkumi daripada PH 82, BN 30, GPS 23, GRS 6, Warisan 3, KDM 2, PBM 1, dan Bebas 1 kerusi.

Selebihnya iaitu 74 kerusi ialah milik PN yang juga blok pembangkang.

Related posts

Leave a Comment