MUDA sertai DAP tegur Saifuddin isu SOSMA

KUALA LUMPUR 15 Dis. –  Selepas ditegur DAP, dan Lawyers for Liberty, kini Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula tampil mengkritik pendirian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang tidak akan mengkaji semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Naib Presiden MUDA Zaidel Baharudin berpandangan SOSMA adalah rang undang-undang (RUU) yang sangat berat sebelah, malah kuasa menyeluruh melingkari akta itu membolehkan ia terdedah kepada penyalahgunaan.

Katanya, satu undang-undang yang jauh lebih baik boleh dirangka bagi menangani isu keselamatan, yang memberi kuasa untuk melaksanakan tindakan yang cepat namun mempunyai proses semak dan imbang yang jelas.

“Banyak negara demokrasi lain yang berdepan ancaman keganasan yang aktif mempunyai RUU khusus bagi menangani ancaman ini.

Namun mereka tetap meletakkan mekanisme semak imbang untuk memastikan hak individu warga negara terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pendirian Saifuddin  yang tidak bercadang untuk mengkaji semula akta SOSMA yang masih ada ruang untuk proses mahkamah selepas tamat tempoh penahanan maksimum 28 hari sebagaimana ditetapkan.

Semalam Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, meminta Saifuddin  mempertimbangkan semula pendiriannya mengenai SOSMA.

Ahli Parlimen Damansara itu menyifatkan pendirian menteri itu bercanggah dengan pendirian Pakatan Harapan (PH), yang mahu semakan semula bagi membuat beberapa perubahan ke atas SOSMA.

PH sebelum ini katanya berpendirian penguatkuasaan SOSMA bermasalah selain bersifat menindas, biarpun mengakui terdapat keperluan perundangan bagi mengatasi sebarang isu berbangkit membabitkan keselamatan negara.

Dalam pada itu, Zaidel mengakui SOSMA sebagai akta yang lebih progresif jika dibandingkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun ia memberikan banyak kuasa kepada pihak penguasa tanpa sebarang semak dan imbang.

Beliau mengambil contoh penahanan selama 28 hari tanpa perlu melalui proses mahkamah, katanya bagi seorang individu biasa ia satu hukuman yang amat berat tanpa sebarang perbicaraan atau pertuduhan.

“Kita juga telah melihat contoh lalu, bagaimana ahli Parlimen PKR sendiri yang ditahan di bawah SOSMA kerana terbabit dalam penganjuran BERSIH.

“SOSMA juga membenarkan pihak penguat kuasa memintas komunikasi secara terus tanpa sebarang mekanisme semak dan imbang yang jelas.

“Saya berpendapat kuasa yang menyeluruh seperti ini membolehkan ianya terdedah kepada penyalahgunaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment