SOSMA: Pendirian menteri bercanggah

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo, meminta Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mempertimbangkan semula pendiriannya mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau yang menyifatkan pendirian menteri itu bercanggah dengan pendirian Pakatan Harapan (PH), berkata semakan semula bagi membuat beberapa perubahan ke atas SOSMA, perlu dilakukan.

Katanya, PH sebelum ini berpendirian penguatkuasaan SOSMA bermasalah selain bersifat menindas, biarpun mengakui terdapat keperluan perundangan bagi mengatasi sebarang isu berbangkit membabitkan keselamatan negara.

Menerusi hantaran melalui Facebooknya, beliau berkata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Oktober 2019 dilapor menyifatkan SOSMA sebagai ‘terlalu keras’ selain menjelaskan beberapa bahagian dalam SOSMA perlu dipinda dan ditambah baik bagi manfaat semua pihak.

Gobind berkata titik permulaan ialah dengan meminda Seksyen 4 SOSMA yang membenarkan seseorang ditahan sehingga 28 hari tanpa akses ke mahkamah, menyebabkan tiada semak dan imbang kuasa pihak penyiasat dalam tempoh berkenaan.

“Ini boleh menyebabkan berlakunya penderaan, bukan sahaja membabitkan tangkapan salah tetapi ketika siasatan yang tidak boleh dibenarkan. Seharusnya ada proses yang membolehkan individu ditahan, dihadapkan ke mahkamah ketika itu.

“Inilah punca blok PH mengundi menentang usul dibawa bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Seksyen 4 (5) SOSMA di Dewan Rakyat, pada 23 Mac lalu,” katanya.

Semalam, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, polis mematuhi segala proses penguatkuasaan SOSMA dan undang-undang berkenaan akan terus digunakan bagi menjamin keselamatan rakyat.

Saifuddin berkata kementerian tidak berhasrat menyemak semula SOSMA, selain mempertahankan undang-undang berkenaan yang membenarkan proses perbicaraan di mahkamah berlaku, sebaliknya bukan seperti akta lain, antaranya Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat.

Sementara itu, Gobind menyifatkan, Seksyen 13 SOSMA yang menyatakan jaminan tidak boleh diberi kepada tertuduh bagi kesalahan keselamatan dan mengehadkan jaminan kepada keadaan ketat mengikut Subseksyen 2 akta sama bagi kes tertentu juga sebagai antara masalah dikenal pasti.

Timbalan Pengerusi DAP itu berkata, terdapat kebimbangan mengenai aspek keperlembagaan bagi peruntukan berkenaan kerana menyekat kuasa mahkamah memberikan jaminan.

“Perkara ini serta peruntukan yang membolehkan penahanan berterusan ke atas suspek sementara menunggu perbicaraan walaupun fakta kes tidak menyokong keperluan penahanan praperbicaraan, perlu dikaji semula.

“Selain itu, (perlu kajian) Seksyen 30 SOSMA, membenarkan pendakwa raya memohon secara lisan kepada mahkamah untuk tertuduh direman sementara menunggu notis rayuan difailkan terhadap pembebasan tertuduh.

“Perhatian bagi peruntukan berkenaan adalah sangat penting kerana proses perbicaraan dan rayuan bagi kes sedemikian mengambil masa beberapa tahun, menyebabkan tertuduh akan ditahan bagi suatu tempoh tidak jelas dan ini adalah penindasan serta keras,” katanya.

Katanya, terdapat peruntukan lain dalam SOSMA yang perlu disemak semula, antaranya Seksyen 6 yang memberi kuasa untuk memintas komunikasi, Seksyen 14 berkaitan keterangan saksi diberikan dengan cara khas, Seksyen 18 (a) berhubung apa-apa dimaklumkan atau dikatakan suspek, boleh diterima masuk sebagai keterangan di mahkamah.

Selain itu, katanya, semakan semula juga perlu menitikberatkan aspek berkaitan kebolehterimaan dokumen dan keterangan mengikut Seksyen 20, 22, 23, 24 dan 25 SOSMA.

“Pastinya, banyak perlu dilakukan untuk menghapuskan aspek kejam dalam SOSMA dan PH konsisten menyeru perubahan. Perbincangan mesti diadakan apabila berdepan perundangan bersifat menindas, selain perubahan perlu dibuat, selari desakan bagi pembaharuan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment