Parti baharu ganti Bersatu Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU 10 Dis. – Sebuah parti tempatan baharu akan ditubuhkan berikutan pengumuman pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah termasuk semua wakil rakyatnya keluar daripada parti itu.

Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata untuk sementara waktu ini, mereka secara kolektif akan menjadi ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang ditunjangi GRS – Barisan Nasional (GRS-BN) juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

Dengan keputusan ini, 14 ADUN dan lima ahli Parlimen akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri Borneo di Malaysia.

“Kami yakin ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, mereka berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan menyatakan keyakinan dengan kepemimpinan dan kebijaksanaan Anwar  untuk memimpin negara.

“Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan juga adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Sabah dan perpaduan dalam kalangan rakyat berterusan.

“Adalah menjadi komitmen kami bersama Sarawak sebagai Blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, keputusan kepemimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

Katanya, ia kerana di peringkat Persekutuan Bersatu adalah pembangkang manakala GRS berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar.

“Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu.

“Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepemimpinan beliau sepanjang tempoh kami sebagai ahli Bersatu,” katanya.

Bersatu melebarkan sayap ke Sabah pada 2019 selepas bekas pemimpin UMNO negeri yang diketuai Hajiji menyertai parti itu sebagai landasan baharu politik mereka.

Pada September 2020, Bersatu Sabah bersama Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) membentuk GRS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) bersama BN.

Related posts

Leave a Comment