Kesal Anwar Menteri Kewangan, Zahid sertai Kabinet

KUALA LUMPUR 3 Dis. –  Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengalu-alukan pengumuman  Kabinet baharu Anwar Ibrahim tetapi kesal kerana Perdana Menteri, melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan.

Menurut Bersih, melantik diri sendiri sebagai Menteri Kewangan akan melemahkan semak dan imbang yang diperlukan bagi menjamin negara tidak kembali kepada zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Semak dan imbang ini diperlukan bagi menjamin negara tidak kembali kepada zaman pentadbiran Najib Razak yang terpalit dengan isu 1MDB sehingga mebebankan negara,”  kata Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, Bersih juga menyatakan kekecewaan apabila Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan memegang jawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah walaupun Zahid sedang menjalani perbicaraan 47 pendakwaan rasuah.

“Walaupun kami memahami politik disebalik pelantikan ini, ianya mengecewakan apabila prinsip telah dikebelakangkan.

“Kedua-dua pelantikan yang dipersoalkan ini mengancam usaha dan komitmen Anwar untuk melawan korupsi,” kata kenyataan itu.

Bersih juga menyambut baik pelantikan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman sebagai Menteri Undang-Undang dan berharap beliau akan memacu reformasi yang dijanjikan di dalam kedua-dua manifesto gabungan PH dan BN.

“Kami juga gembira Azalina adalah antara lima wanita yang dicalonkan untuk menerajui kementerian utama seperti Pendidikan, Kesihatan, Belia dan Suka serta Wanita dan Keluarga.

“Walaupun Kabinet ini mempunyai perwakilan wanita sebagai Menteri paling ramai, ianya masih jauh daripada kesetaraan gender dalam Kabinet,” katanya.

Bersih juga berharap kestabilan politik dapat diwujudkan dan semua parti termasuk pembangkang memainkan peranan konstruktif dalam pembentukan negara.

Dalam pada itu, Anwar perlu menggandakan usaha untuk memenuhi janji manifesto PH untuk melawan rasuah dan mengukuhkan integriti institusi utama negara.

Justeru Bersih mahu Anwar dan kabinet baharunya mengutamakan tiga tindakan p bagi menghapuskan sebarang keraguan campur tangan kes mahkamah dan konflik kepentingan iaitu:

Menjadikan Peguam Cara Negara untuk mengambil peranan Pendakwa Raya dengan segera sehingga pindaan perlembagaan dibuat untuk memisahkan peranan tersebut daripada Peguam Negara.

Menggalakkan kestabilan politik dan pemantauan Parlimen dengan memberikan peranan bermakna kepada pembangkang dan backbencher Kerajaan dalam Kabinet bayangan dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK), dengan gaji yang selayaknya, sokongan kajian polisi dan akses kepada maklumat kerajaan kepada menteri bayangan serta pengerusi dan timbalan pengerusi JPK. Hal ini akan seterusnya diperkukuh melalui penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen dan penubuhan Jabatan Belanjawan Parlimen.

Mereformasi proses pelantikan dan pemecatan pegawai awam utama seperti Pengerusi SPRM, SPR dan Pesuruhjaya SUHAKAM. Proses ini perlu dibebaskan daripada eksekutif dan dimasukkan peranan Parlimen, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan yang lain yang lebih bermakna.

Related posts

Leave a Comment