Calon BN ucap terima kasih kepada Padang Serai

PADANG SERAI 3 Dis. – Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Padang Serai, C Sivaraj mengucapkan terima kasih lebih awal sebelum hari pengundian berikutan keputusan BN menarik diri bagi memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataannya hari ini, Sivaraj akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti yang mahukannya berundur supaya tidak bertembung dengan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak pada pilihan raya Rabu ini.

Katanya, tiada kepentingan yang lebih utama daripada ketetapan parti, namun percaya khidmatnya masih diperlukan selepas lebih tiga tahun bersama penduduk Padang Serai.

“Saya tetap akan terus berkhidmat untuk masyarakat setempat walaupun tahu tidak akan dapat menyelesaikan masalah besar dihadapi mereka. Dengan sedikit kebolehan dan kemampuan yang ada, sekurang-kurangnya dapat bantu selesaikan masalah asas masyarakat di sini,” katanya.

Malam tadi, Pengerusi BN Kedah, Jamil Khir Baharom mengumumkan BN memberi laluan kepada PH bagi menghadapi saingan lain dalam PRU15 di kerusi berkenaan, tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan PH dan BN di peringkat Nasional.

Penarikan diri itu bagaimanapun tidak memberi perubahan kepada senarai di kertas undi yang akan tertera namanya sebagai calon BN.

Sivaraj berkata, kehadirannya di Padang Serai diterima baik semua lapisan masyarakat, malah sentiasa mendapat sokongan serta nasihat untuk terus berkhidmat.

“Selama saya di sini, golongan ibu sentiasa melayan seolah-olah saya anak mereka sendiri, mereka yang saya anggap kakak dan abang juga tidak pernah leka untuk memberi nasihat dan bimbingan bila perlu, malah adik-adik di Padang Serai sentiasa memberi sokongan.

“Mereka ini yang menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus cuba untuk berkhidmat dengan sebaik mungkin selama ini,” katanya.

Beliau turut memohon Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan dapat memberi perhatian sewajarnya mengenai isu-isu yang diketengahkan melalui manifestonya 5 – Tekad untuk Padang Serai.

“Lima tekad kami perlu diberi perhatian sewajarnya kerana Parlimen Padang Serai jauh ketinggalan dalam segenap aspek. Tidak adil untuk rakyat Padang Serai terus diabaikan tanpa pembelaan yang sepatutnya diterima oleh mereka,”katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan jentera dan rakan-rakan media yang bersama-sama membantu dalam perjuangannya di sin, bukan sekadar dalam tempoh berkempen tetapi sejak hari pertama mula berkhidmat di situ tiga tahun lalu.

“Saya juga ingin menyatakan penghargaan saya terhadap kepimpinan tertinggi Barisan Nasional di atas peluang dan ruang yang telah diberikan kepada saya selama tempoh tiga tahun ini di Parlimen P017 Padang Serai,” katanya.

Related posts

Leave a Comment