Mengundi awal Padang Serai, Tioman esok

PUTRAJAYA 2 Dis. – Sebanyak 319 orang anggota keselamatan serta pasangan mereka akan menunaikan tanggungjawab mengundi pada pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang esok.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, daripada jumlah itu, 76 anggota polis terlibat bagi Parlimen Padang Serai manakala 243 anggota polis di DUN Tioman.

Satu pusat pengundian awal membabitkan dua tempat mengundi atau saluran awal akan dibuka pada pukul 8 pagi bagi Parlimen Padang Serai manakala dua pusat pengundian awal dengan dua saluran akan digunakan untuk DUN Tioman.

Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) menyarankan semua pihak yang hadir ke pusat mengundi esok, agar mematuhi prosedur operasi standard perlindungan diri, dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta sentiasa mensanitasi tangan.

SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Disember ini berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M. Karupaiya pada 16 November lepas manakala pengundian DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli, pada 3.30 pagi hari pengundian (19 November lepas), yang dipercayai akibat serangan jantung.

Proses penamaan calon bagi Parlimen dan DUN itu berlangsung pada 24 November lepas diikuti pengundian awal esok dan 7 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian.

Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak; Azman Nasrudin (PN-Bersatu);  C Sivaraj (Barisan Nasional (BN)-MIC); Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra); Sreanandha Rao (Bebas); dan Mohd Bakhri Hashim (Parti Warisan).

Warisan kemudian mengumumkan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan, bagaimanapun logo Warisan masih tersenarai dalam kertas undi, kerana sudah didaftarkan sebagai antara parti yang bertanding.

DUN Tioman pula membabitkan saingan lima penjuru antara calon PN Nor Idayu Hashim; Mohd Johari Hussain (BN); Osman A Bakar (Pejuang); dan Sulaiman Bakar (Bebas) walaupun calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly mengumumkan untuk menarik diri kerana logo PH masih tersenarai dalam kertas undi.

Related posts

Leave a Comment