Kes harian Covid-19 meningkat semula

PUTRAJAYA 2 Dis. – Kes jangkitan harian Covid-19 semalam menunjukkan peningkatan dengan 2,375 kes direkodkan termasuk empat kes import berbanding 1,737 pada hari sebelumnya.

Sebanyak 11 kematian dilaporkan termasuk dua kes berlaku di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID) berbanding 17 kematian pada hari sebelumnya.

Menurut data portal KKMNOW, jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 4,994,543 iaitu 4,956,093 kes tempatan dan 38,450 kes import manakala jumlah kematian 36,684 orang termasuk 7,810 kes BID.

Sementara itu, sebanyak 24,467 kes masih aktif semalam, turun 493 dan daripada jumlah itu 22,637 kes atau 92.5 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah dan tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC).

Sebanyak 1,739 pesakit mendapatkan rawatan di hospital dan daripada jumlah itu, sebanyak 91 orang  ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana 57 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Semalam sebanyak 2,857 pesakit dilaporkan sembuh yang membawa kepada jumlah keseluruhan pesakit pulih meningkat kepada 4,933,381 orang.

Related posts

Leave a Comment