Lima bot sumbangan Yang di-Pertuan Agong

PEKAN 2 Dis. – Sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan bot kepada penduduk di daerah ini.

Dalam titah baginda, Seri Paduka berpesan kepada penerima supaya bot tersebut digunakan secara bersama penduduk lain yang terjejas banjir dan bukan untuk kegunaan sendiri semata-mata.

“Jangan jual pula ya, ini (bot) untuk bantu orang-orang terdekat juga… kalau ada rumah-rumah terdekat (banjir) bantu, tolong jiran,” titah Al-Sultan Abdullah.

Lima bot jenis fiber lengkap bersama jaket keselamatan itu dikurniakan Seri Paduka di pekarangan Masjid Sultan Ahmad Shah, di sini, selepas menunaikan solat Jumaat bersama penduduk setempat.

Turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Sallehudin Ishak.

Pada majlis itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi selain makanan keperluan harian daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 150 asnaf.

Related posts

Leave a Comment