Pertembungan lima penjuru kekal di Tioman

Pertembungan lima penjuru kekal di Tioman

PUTRAJAYA 29 Nov. – Walaupun Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, pertembungan masih lima penjuru.

Ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cuma menyediakan gelanggang untuk calon bertanding manakala keputusan untuk menarik diri atau memberi  laluan kepada pihak lain adalah atas dasar politik calon masing-masing.

Pada masa yang sama status pencalonan tidak boleh diubah selepas tempoh penamaan calon ditutup dan nama calon yang sah tetap tersenarai dalam kertas undi untuk pilihan para pengundi.

PH hari ini melalui Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Mohd Hatta Md Ramli, mengumumkan calonnya memberi laluan kepada BN sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat Negeri dan Nasional.

Dr Mohd Hatta dilaporkan berkata, pihaknya memandang pilihan raya DUN Tioman sebagai satu pertembungan kerajaan baharu Pahang dengan kelompok ekstremisme kaum dan agama.

“Amanah melihat keperluan mewujudkan perpaduan erat dalam kalangan komponen kerajaan negeri dalam menentang calon Perikatan Nasional (PN),” katanya,

Pada penamaan calon sebelum ini, PH-Amanah menurunkan calonnya Fadzli Mohd Ramly manakala calon lain yang menawarkan diri adalah Nor Idayu Hashim (PN); Mohd Johari Hussain (BN); Osman A Bakar (Pejuang), dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Pengundian PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada hari pengundian 19 November lalu.

SPR menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini, dengan 3 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

DUN Tioman mempunyai 28,465 daftar pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis, dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.

Mohd Hatta berkata, bagi memenangkan calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan Pahang itu, jentera pilihan raya PH akan bergerak bersama di setiap kempen BN dalam pilihan raya itu.

Katanya, menerusi kerjasama itu, keutuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat diperkuatkan demi kepentingan rakyat, agama dan negara.

“Amanah juga menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong bagi pembentukan kerajaan Pahang di bawah pimpinan PH dan BN yang berlaku semalam. Amanah mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga ADUN Jelai yang dilantik sebagai Menteri Besar Pahang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment