Bersatu nafi cubaan beli dua ADUN BN

IPOH 28 Nov. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak menafikan dakwaan Menteri Besar, Saarani Mohamad bahawa Perikatan Nasional (PN) cuba membeli empat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Setiausahanya, Zainol Fadzi Paharuddin berkata, kenyataan itu adalah tidak benar serta tidak berasaskan fakta.

“Saya tidak pernah memberi, menawarkan mahupun hendak ‘membeli’ ADUN BN, janganlah membuat tuduhan begitu. Saya sendiri tidak pernah hubungi mana-mana ADUN BN sehinggalah beliau (Saarani) mengangkat sumpah pada 22 November lalu.

Sebelum itu), saya sendiri jumpa beliau (Saarani) pada jam 3 pagi pada 20 November lalu untuk bertanyakan kerjasama bersama (PN-BN), itu saja,” katanya hari ini.

Semalam, Saarani mendedahkan, terdapat cubaan ‘mencuri’ ADUN BN malah dimaklumkan ada ejen PN menelefon dan menghantar mesej kepada ADUN berkenaan supaya keluar parti dan menyertai PN, sama seperti yang berlaku pada tahun 2018.

Saarani berkata tindakan bergabung dengan PH perlu kerana beliau tidak mahu senario sama seperti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berulang, di mana dua ADUN BN ketika itu iaitu Zainol Fadzi dan Nolee Ashilin Mohamed Radzi ‘dicuri’ untuk membentuk kerajaan negeri.

Zainol memberitahu , beliau memang ada menghubungi dua sahabatnya dari kalangan ADUN BN pada 22 November lalu untuk bertanyakan adakah mereka dilantik menjadi Exco  kerajaan negeri atau tidak namun tidak mengarahkan sesiapa apatah lagi menghantar ‘ejen’ seperti yang didakwa Saarani bagi ‘mencuri’ ADUN.

“Saya faham tekanan yang beliau (Saarani) hadapi disebabkan keputusan yang beliau ambil (kerajaan perpaduan BN-PH), cuma dalam kes ini tidak timbul isu cubaan membeli ADUN BN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment