Kes harian Covid-19 meningkat 3,024

PUTRAJAYA 26 Nov. – Malaysia merekodkan sebanyak 3,024 kes baharu Covid-19 semalam, Jumaat menunjukkan peningkatan berbanding 2,877 yang dilaporkan pada Khamis.

Menurut portal KKMNOW, tujuh daripada kes baharu semalam adalah kes import menjadikan jumlah keseluruhan 4,942,933 dengan 38,441 kes import.

Sebanyak 26,903 kes aktif dilaporkan di mana 92 peratus atau 24,752 kes merupakan individu yang dikuarantin di rumah, manakala 10 lagi berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Data tersebut turut menyatakan bahawa sebanyak 2,049 kes Covid-19 menerima rawatan di hospital termasuk 92 daripadanya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di mana 52 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, kes sembuh yang direkodkan pada Jumaat adalah sebanyak 2,969 menjadikan kumulatif berkenaan adalah 4,917,827.

Pada masa yang sama, negara juga turut mencatatkan lapan kematian terbaharu menjadikan 36,644 meninggal dunia dengan dua daripadanya merupakan kematian luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Sementara itu, Selangor masih mendahului kes harian tertinggi dengan 1,069 kes berbanding 701 kelmarin, diikuti Melaka 268 (207), Sabah 266 (222), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 223 (311), Pulau Pinang 178 (184).

Sarawak 145 (176), Wilayah Persekutuan Putrajaya 140 (119), Perak 132 (150), Kedah 126 (165), Kelantan 114 (183), Negeri Sembilan 106 (124), dan Pahang 102 (152).

Perlis terus mencatatkan kes terendah iaitu tujuh berbanding sembilan kes kelmarin manakala Wilayah Persekutuan Labuan 27 (24), Johor 49 (46) dan Terengganu 72 (104).

Related posts

Leave a Comment