Zahid beri kata dua kepada ahli Parlimen

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Di sebalik desakan supaya Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu memberi kata dua kepada Ahli Parlimen BN berhubung penubuhan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid berkata BN tidak pernah sama sekali berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan berhubung penubuhan kerajaan bersama PN.

Presiden UMNO, itu berkata tiada sebarang perundingan dilakukan dengan PN setakat ini, yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan.

Beliau turut memaklumkan, semua Ahli Parlimen BN yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepada beliau untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

“Justeru, mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum itu, Pengerusi GPS, Abang Johari Abang Openg memaklumkan, gabungan itu bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama dengan tiga lagi gabungan iaitu PN dan BN.

Abang Johari berkata, keputusan membentuk kerajaan campuran itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

Related posts

Leave a Comment