Dr. Mahathir calon tertua Parlimen

PUTRAJAYA 5 Nov. – Calon tertua pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah Dr Mahathir Mohamad yang berusia 96 tahun, mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Parlimen Langkawi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh, berkata bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Fuaddin Kamaruddin, 70, yang mewakili Pejuang menjadi calon tertua bertanding iaitu di DUN Kubu Gajah.

Bagi Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya, Sabah, calon paling tua adalah Karil Pg Kurani berusia 76 tahun, bertanding mewakili Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

Calon Bebas di kerusi Parlimen Tenom, Peggy Chaw Zhi Ting berusia 23 tahun menjadi calon termuda.

Di kerusi DUN pula, calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Syahmi Suhaimi berusia 23 tahun bertanding di DUN Tambun Tulang, manakala DUN Bugaya iaitu calon Bebas, Jufazli Shi Ahmad, 33.

Beliau berkata, selepas tamatnya tempoh penamaan calon pada pukul 10 pagi, sebanyak 1,392 kertas penamaan sudah dikemukakan oleh pelbagai parti dan individu yang akan bertanding dalam PRU15 dan PRK DUN Bugaya, Sabah.

Daripada jumlah itu pertandingan satu lawan satu melibatkan sembilan Parlimen dan satu DUN.

Pertandingan tiga penjuru berlangsung di 54 Parlimen, 51 DUN ; empat penjuru 82 Parlimen, 47 DUN ; lima penjuru 43 Parlimen, 12 DUN; enam penjuru 24 Parlimen, empat DUN ; tujuh penjuru di lima Parlimen, satu DUN; lapan penjuru tiga Parlimen; sembilan penjuru satu Parlimen dan 10 penjuru satu Parlimen.

DUN Bugaya menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Beliau berkata, mengikut jantina pula seramai 818 calon lelaki dan 127 calon wanita bertanding di Parlimen, DUN 375 lelaki, 59 wanita, manakala di DUN Bugaya enam lelaki dan satu wanita.

(Foto fb Dr Mahathir)

Related posts

Leave a Comment