Cukuplah kempen 14 hari

KUALA SELANGOR 20 Okt. – Tempoh berkempen selama 14 hari seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), merupakan jangka masa yang ideal untuk setiap parti politik berkempen, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Tempoh) 14 hari (berkempen) cukup… dulu pun 14 hari, ada masa kurang 14 hari, parti politik kena rancang perancangan masing-masing untuk pastikan cukup masa. Kalau terlampau lama tidak boleh juga, penat.

“SPR telah tentukan, kita akur dengan SPR,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (KUKKM) Negeri Selangor, di sini.

Mengulas persiapan dan senarai nama calon PRU15 bagi UMNO, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pucuk pimpinan tertinggi parti akan membuat pengumuman berkenaan tidak lama lagi.

“Saya nak bertanding di Bera tapi tunggu pengumuman. Itu (nama-nama calon) akan diumumkan oleh parti, Presiden UMNO (Ahmad Zahid Hamidi) akan umumkan atau mungkin Pengerusi Perhubungan Negeri akan umumkan. Itu tidak tahu lagi,” katanya.

Mengenai calon wanita pula, tambah penyandang kerusi Parlimen Bera itu, UMNO telah membuat keputusan agar 30 peratus penyertaan wanita Barisan Nasional (BN) diberikan dalam PRU15.

“Dari segi UMNO, Presiden parti sudah umumkan kita pastikan wanita kita dapat 30 peratus dari segi penerimaan mereka dalam pilihan raya.

“Penyertaan dalam politik termasuk Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN), (pelantikan) Senator jadi semua sekali dan wanita bermakna bukan wanita UMNO sahaja tapi wanita BN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment