Tiada bukti syor vaksin khusus Omicron

GENEVA: Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan belum ada cukup bukti bagi mengesyorkan suntikan Covid-19 khusus untuk Omicron berbanding versi asal.

Menurut Pakar Imunisasi Kumpulan Penasihat Strategik (SAGE) WHO, vaksin yang disesuaikan dengan varian dominan global mungkin hanya menawarkan ‘manfaat tambahan yang kecil’.

“Data yang ada pada masa ini tidak mencukupi untuk menyokong pengeluaran sebarang cadangan keutamaan bagi vaksin penggalak yang mengandungi varian bivalen, berbanding vaksin penggalak virus leluhur saja,” katanya dalam satu kenyataan.

Empat vaksin mRNA yang mengandungi subvarian Omicron BA.1 atau BA.4/5 dan digabungkan dengan virus leluhur, dibenarkan untuk digunakan sebagai dos penggalak.

WHO sebelum ini memberi lampu hijau bagi Senarai Penggunaan Kecemasan kepada sembilan vaksin dan variasi Covid-19 iaitu Pfizer BioNTech, AstraZeneca, Janssen, Moderna, Sinovac, Sinopharm, Bharat Biotech, Novavax dan CanSinoBIO.

Setiausaha Eksekutif SAGE, Joachim Hombach, berkata sekumpulan pakar menemui vaksin yang mengandungi varian dineutralkan pada tahap sama seperti vaksin asal, dengan peneutralan yang agak lebih tinggi bagi varian Omicron.

Jelasnya, vaksin ini benar-benar baik tetapi apa yang lebih penting untuk perlindungan ialah benar-benar mengambil vaksin sama ada diubah suai untuk Omicron atau tidak.

Setakat 2 Oktober lalu, lebih 615 juta kes Covid-19 disahkan dan lebih 6.5 juta kematian seluruh dunia dilaporkan kepada WHO.

Related posts

Leave a Comment