Red notice lebih baik kesan Jho Low

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Kaedah melalui ‘red notice’ (orang dalam buruan dikehendaki untuk pendakwaan) yang dikeluarkan Polis Antarabangsa (INTERPOL) adalah lebih baik bagi mengesan Low Taek Jho atau Jho Low.

Justeru Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berhasrat menawarkan ganjaran kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terkini mengenai keberadaan ahli perniagaan dalam buruan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpandangan kaedah melalui ‘red notice’ adalah lebih baik kerana menggunakan elemen kerjasama dan maklumat perisikan yang lebih tepat.

“Kaedah ini memerlukan mana-mana 195 negara anggota yang mempunyai maklumat berkaitan Jho Low bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat terbabit kepada Malaysia bagi membolehkan tindakan ekstradisi dibuat,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada polis sudah menghubungi dua wartawan iaitu Tom Wright dan Bradley Hope mengenai dakwaan mereka bahawa Jho Low dan keluarganya dilihat di China dan Hong Kong pada tahun 2018 dan 2019 serta mengapa kerajaan tidak menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat terkini mengenai keberadaan Jho Low.

Hamzah berkata, setiap maklumat yang diterima mengenai keberadaan Jho Low di negara asing sentiasa diteliti kesahihannya termasuk menggunakan saluran antarabangsa sedia ada.

Menjawab Soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai langkah diambil untuk mengesan dan menahan Jho Low, Hamzah berkata, KDN melalui PDRM tidak pernah berhenti dan komited dalam usaha mengesan dan membawa pulang ahli perniagaan terbabit.

“PDRM turut menjalin kerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, pihak berkuasa Singapura dan agensi penguatkuasaan negara lain.

“PDRM amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung lokasi Jho Low supaya menyalurkannya melalui talian CCID Infoline di 013-211 1222 (WhatsApp sahaja) atau di mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

Maklumat yang diterima akan diteliti kesahihannya dan akan disalurkan kepada INTERPOL bagi mendapatkan pengesahan lanjut daripada negara ahli terbabit.

Media sebelum ini melaporkan Jho Low didakwa masih bersembunyi di China dan perkara itu didedahkan penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World’, Bradley Hope menerusi episod pertama program ‘Di Mana Jho Low’ yang disiarkan di platform aplikasi video YouTube, pada 31 Ogos lalu.

Menerusi episod itu, Hope bersama seorang penulis, Tom Wright turut berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di Disneyland Shanghai.

Hope berkata, gambar didakwa bertarikh 24 Disember 2019 itu diterimanya daripada sumber boleh dipercayai.

Related posts

Leave a Comment