Bubar : PM perlu bawa ke Kabinet

KOTA BHARU 1 Okt. – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob perlu berbincang terlebih dahulu dalam Kabinet berhubung pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata jemaah menteri boleh memberikan pandangan berhubung perkara tersebut sebelum Perdana Menteri membawa cadangan itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

“Perdana Menteri kena bawa ke Kabinet, biar Kabinet putuskan. Jemaah menteri akan tentukan dan Perdana Menteri akan menasihati Agong untuk membubarkan (Parlimen) atau tidak,” katanya.

Beliau yang ditemui di program Cakna Rakyat DUN Tanjung Mas, di sini, pagi ini menjelaskan, Kabinet sebelum ini tidak pernah membincangkan soal tarikh, kesesuaian dan perkara lain berhubung PRU15.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu, Pas akur dengan segala keputusan asalkan ia berlandaskan perlembagaan dan peraturan.

Bagaimana pun, sekiranya PRU15 dilangsungkan tahun ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai Pas di Terengganu, Kedah dan Kelantan tidak akan dibubarkan.

“Dalam Kabinet tak pernah bincang soal tarikh, kesesuaian tarikh dan sebagainya. Pas juga tidak akan membubarkan DUN di negeri negeri yang kita kuasai, itu jelas,” katanya.

Takiyuddin menambah, Pas bersedia dengan apa jua kemungkinan sama ada Pilihanraya akan diadakan pada tahun ini atau pun tahun hadapan.

Penggal DUN di Kelantan, Terengganu dan juga Kedah berakhir antara Mei dan Julai tahun hadapan.

Related posts

Leave a Comment