Musuh Pas adalah PH bukan UMNO

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Musuh Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah Pakatan Harapan (PH), bukannya UMNO, kata Setiausaha Agung Pas,  Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata atas dasar itulah Pas terus mempelawa supaya kerjasama antara parti itu dan UMNO diteruskan dalam menghadapi PRU15 bagi memastikan sebuah kerajaan stabil dapat dibentuk jika mereka berjaya menang pilihan raya.

“Pas kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan Ta’awun sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) musuh dalam PRU15.

“Pas sebaliknya tetap menegaskan bahawa musuh sebenar penyatuan ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya termasuk ‘khemah besar’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pas terus berusaha dengan pelbagai pendekatan antaranya menyeru seboleh mungkin parti yang membentuk kerajaan ketika ini dapat terus bekerjasama menghadapi PRU15, seterusnya membentuk sebuah kerajaan baharu yang lebih mantap dan berotoriti.

Katanya, Pas optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik antara parti-parti utama Melayu Islam saja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih daripada dua penjuru dalam PRU15 nanti.

“Gabungan atas konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional sahaja mampu menjadi formula terbaik dan berkesan serta diterima majoriti pengundi.

Ini bagi mewujudkan sebuah kerajaan prihatin rakyat dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat di samping memberikan perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang.

“Ini bukan saja dapat menjamin terbentuknya sebuah pentadbiran adil dan saksama kepada semua rakyat merentasi kaum, agama, bangsa dan budaya, tetapi juga mengelakkan berulangnya sejarah hitam yang berlaku semasa PRU14,” katanya.

Pas yakin agenda penyatuan ummah dan perpaduan nasional antara orang Melayu Islam, kaum Bumiputera dan rakyat pelbagai kaum di negara ini hanya dapat dicapai sekiranya kestabilan politik dapat diwujudkan selepas PRU15.

Ini adalah kenyataan kedua Takiyuddin dalam tempoh dua minggu berkaitan pelawaan parti itu untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO, selepas diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang baru-baru ini.

Hingga kini, UMNO masih belum memberi jawapan muktamad terhadap pelawaan kerjasama oleh Pas dalam PRU itu, dengan hal itu dijangka dibincang dan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual pada 30 September ini.

Related posts

Leave a Comment