Vaksin Covid-19 varian baharu

PUTRAJAYA 13 Sept. –  Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat perolehan bagi vaksin Covid-19 varian baharu, khusus untuk kanak-kanak yang mempunyai penyakit kronik serta warga emas, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata vaksin versi baharu itu tidak diberikan kepada semua berikutan situasi Covid-19 di negara ini ini yang dalam keadaan stabil.

“Kita tidak akan membuat kempen secara besar-besaran seperti sebelum ini untuk pengambilan vaksinasi kerana kita dapati, golongan muda ini apabila dijangkiti Covid-19, gejalanya tidak teruk dan berkurangan apabila menerima dos tambahan.

“Vaksin ini kita fokuskan kepada golongan berisiko tinggi. Apabila keputusan untuk perolehan ini kita dapat, KKM akan umumkan, termasuk membabitkan perolehan vaksin kepada kanak-kanak bawah lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book Of Records dan Pelancaran Laporan Record Breaking Covid-19 Vaccination, di kementeriannya, hari ini.

Khairy berkata, Bahagian Kesihatan Awam dan Bahagian Pediatrik sudah diminta untuk mengunjurkan data pesakit komorbid dan kanak-kanak berisiko di negara ini.

“Itu semua dalam pangkalan data kami dan kita akan mengumpulkan data berkenaan sebelum membuat sebarang perolehan.

“Data itu membolehkan kita mendapatkan vaksin yang secukupnya kerana kita tidak mahu mengulangi membuat pesanan melebihi kegunaan seperti yang berlaku pada vaksin jenis Pfizer dan COVAX,” katanya.

Beliau juga memberitahu, pemberian vaksin ini adalah percuma dan bagi kanak-kanak bawah lima tahun, ia mungkin diberikan melalui KKM iaitu di wad pediatrik.

Sementara itu, Khairy berkata, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) bersama KKM melakar sejarah apabila diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai Most Vaccination Doses Administered In A Day (pemberian vaksin tertinggi sehari) menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), yang dijalankan sejak Februari tahun lalu.

Jumlah pemberian vaksin tertinggi yang pernah direkodkan di negara ini adalah pada 28 Julai 2021, dengan 581,566 dos diberikan dalam masa sehari.

Hasil kerjasama antara ProtectHealth dengan KKM dalam menerajui PICK itu, sebanyak 72 juta dos vaksin berjaya diberikan kepada rakyat Malaysia, meliputi warga emas, remaja dan kanak-kanak.

Related posts

Leave a Comment