Permulaan era Raja Charles III

LONDON: Sehari selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II, Raja Charles III, 73 meninggalkan Istana Balmoral dan kembali ke London dengan diiringi oleh isteri, Raja Permaisuri Camilla.

Berikut adalah rentetan peristiwa sehari terbabit:

Raja Charles III meninggalkan Istana Balmoral di timur laut Scotland, untuk kembali ke London bersama konvoi barisan kenderaan pengiring. Raja Permaisuri Camilla dilihat berada di tempat duduk hadapan kenderaan yang menuju ke lapangan terbang Aberdeen untuk penerbangan pulang ke London, manakala Raja Charles III berada di tempat duduk belakang.

Loceng gereja berdentang di seluruh Britain sebagai penghormatan kepada mendiang Ratu, termasuk di Katedral St Paul di London, selain di kediaman mendiang di Windsor.

Istana Buckingham mengumumkan majlis pertabalan rasmi untuk raja baharu akan diadakan di Accession Council, bermula jam 10 pagi Sabtu.

Bunyi tembakan meriam kehormat bergema di negara ini sempena upacara memperingati mendiang Ratu. Sebanyak 96 das tembakan meriam – mewakili setiap tahun hayat mendiang baginda – dilepaskan dari Hyde Park dan Menara London di ibu kota.

Tembakan kehormat turut dilepaskan di Istana Edinburgh di Scotland, Istana Hillsborough di Ireland Utara dan Istana Cardiff di Wales, selain di Kepulauan Channel serta Gibraltar.

Pesawat membawa Raja Charles III dan Raja Permaisuri Camilla mendarat di RAF Northolt di barat London, sebelum pasangan diraja itu menaiki kenderaan ke Istana Buckingham yang menyaksikan orang ramai berkumpul untuk menyambut mereka, termasuk menyanyikan ‘God Save the King.’ Raja Charles III dilihat bersalaman dengan orang ramai yang turut mengucapkan takziah.

Bendera ‘Royal Standard’ yang dikibarkan di istana diraja apabila raja berada di kediaman, kemudian dinaikkan di Istana Buckingham untuk kali pertama bawah era pemerintahan Raja Charles III.

Raja Charles III mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Britain, Liz Truss, di Istana Buckingham.

Raja Charles III menyampaikan perutusan pertama sebagai raja kepada rakyat dan Komanwel. Dalam perutusan disiarkan televisyen itu, baginda turut menzahirkan penghormatan beremosi kepada mendiang bonda dengan panggilan ‘mama tersayang’.

Raja Charles III mengumumkan Putera William bersama isterinya, Kate Middleton, kini masing-masing menyandang gelaran sebagai Putera dan Puteri Wales yang baharu.

Upacara memperingati mendiang Ratu diadakan di Katedral St Paul, tanpa dihadiri raja baharu. Untuk kali pertama, ‘God Save the King’ dipersembahkan secara rasmi pada upacara di gereja itu yang turut dihadiri Truss.

Related posts

Leave a Comment