RM1.5 juta biasiswa 13 pelajar cemerlang

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menawarkan biasiswa berjumlah RM1.5 juta kepada 13 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU).

Inisiatif  itu beraspirasikan matlamat untuk meningkatkan kesiapsiagaan digital seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) menerusi pendedahan realiti dan praktikal untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dengan asas pendidikan tertinggi bagi mendepani cabaran era digitalisasi.

Usaha itu direalisasikan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Felda melalui Yayasan Felda dan APU bagi menyediakan program pendidikan ‘Global Digital Leadership (GDL)’ yang merangkumi pelbagai bidang pengkhususan pengajian berteraskan teknologi terkini demi pembangunan modal insan generasi baharu Felda.

Kerjasama strategik awam-swasta antara kedua-dua organisasi itu membolehkan 13 pelajar cemerlang yang juga cucu peneroka dan anak-anak kakitangan Kumpulan Felda termasuk FGV Holdings Bhd (FGV) mengikuti program pengajian sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Seramai 13 pelajar itu juga antara 239 calon yang telah memohon tawaran biasiswa sejak dibuka pada 16 Jun lalu.

Pengerusi Felda, Idris Jusoh berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen Felda dalam mengangkat taraf pendidikan serta pembangunan generasi baharu Felda bagi meningkatkan mobiliti sosial warga Felda keseluruhannya.

“Dengan termeterainya MoU ini, saya yakin aspirasi pendidikan generasi baharu Felda diperkasakan seiring penguasaan digital yang akan menjadi penggerak masa hadapan yang lebih maju,” katanya kepada media selepas menyaksikan majlis pemeteraian MoU antara Felda dan APU di sini, hari ini.

Program ini dengan kos keseluruhan RM1.5 juta itu merangkumi Program Pengajian Akademik, Intensive English Programme (IEP), Neuro Linguistic Programming (NLP), kelas bahasa asing (bahasa Korea), yuran kediaman dan elaun sara diri pelajar selama empat tahun enam bulan.

Program GDL menawarkan 18 kursus berasaskan teknologi seperti teknologi maklumat (IT), sistem keselamatan, kejuruteraan awan, rangkaian perkomputeran, teknologi mudah alih, Internet Semua Benda (IoT), teknologi kewangan (FinTech), sistem maklumat perniagaan, kejuruteraan perisian, sains komputer, analitik data, forensik digital, keselamatan siber, sistem pintar, teknologi multimedia, VR/AR dan pembangunan permainan.

Related posts

Leave a Comment