MKT bincang solidariti

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) malam tadi membincangkan solidariti bagi memperkukuhkan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Bung Mokhtar Radin, berkata mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut membincangkan mengenai kestabilan ekonomi dan negara.

“Benda tak penting kita tak bincang, kita bincang perkara untuk memperkukuh parti, parti kuat, calon kita menang,” katanya kepada media selepas mesyuarat berkenaan di Menara Dato Onn, malam tadi.

Ditanya sama ada mesyuarat membincangkan tarikh pilihan raya, beliau yang juga ahli MKT memaklumkan, tiada.

“Kita tak bincang, itu hak Perdana Menteri,” katanya.

Mesyuarat itu turut dihadiri Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden parti.

Terdahulu, berucap di hadapan 2,000 ahli parti itu pada majlis Taklimat Khas Presiden UMNO petang semalam , Ahmad Zahid berkata, mesyuarat malam tadi akan membincangkan desakan supaya PRU-15 diadakan segera.

Beliau berkata, seluruh ahli MKT sendiri melihat bagaimana ahli akar umbi mahukan perkara itu direalisasikan.

“Malam ini, ada mesyuarat MKT. Kami akan bawa mandat hari ini dalam mesyuarat MKT,” katanya.

Related posts

Leave a Comment