Najib akhirnya dipenjarakan

PUTRAJAYA 23 Ogos – Akhirnya bekas Perdana Menteri, Najib Razak terpaksa menjalani hukuman penjara berkuat kuasa mulai hari ini selepas rayuannya ditolak.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau berkata sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman itu tidak keterlaluan.

“Rayuan ini dengan sebulat suara ditolak dan sabitan dan hukuman dikekalkan.

Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara) ,” kata Tengku Maimun memerintahkan prosiding tamat.

Tengku Maimun berkata, mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu,  Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mohd Nazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.

Menurut Tengku Maimun, Mohd Nazlan membuat keputusan yang betul apabila mendapati pembelaan Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Ketika membacakan penghakiman setebal 15 muka surat dalam masa 34 minit, Tengku Maimun berkata, panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan mendapati Mohd Nazlan sudah melakukan analisis yang mendalam terhadap bukti dikemukakan pihak pendakwaan.

“Oleh itu, kami tidak boleh menyimpulkan bahawa mana-mana dapatan Mahkamah Tinggi, seperti yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan adalah songsang atau jelas salah sehingga memerlukan campur tangan rayuan.

“Kami bersetuju pembelaan perayu sememangnya tidak konsisten sehingga tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Dalam keadaan ini dan selepas meneliti bukti, penghujahan dan rekod rayuan yang lain, kami mendapati aduan perayu seperti terkandung dalam petisyen rayuan ini tiada sebarang merit,” katanya.

Beliau berkata, kes pembelaan adalah Najib tidak pernah benar-benar mempertikaikan mengenai kemasukan dana SRC International berjumlah RM42 juta seperti dipertuduhkan ke atasnya, dalam akaun bank peribadinya ketika kes itu dibicarakan.

Sebaliknya, beliau berkata, bekas perdana menteri itu hanya mencabar elemen mens rea (niat jahat) bagi semua tujuh kesalahan dikenakan ke atasnya iaitu menafikan mengetahui dana itu daripada SRC.

Katanya, responden (pendakwaan) mengekalkan pendirian bahawa pembelaan tidak layak untuk dipercayai oleh mahkamah.

“Ia kerana pihak pembelaan mengekalkan RM42 juta yang dikatakan diperoleh secara salah oleh perayu yang menyebabkan kerugian salah kepada SRC bukan dalam pengetahuannya.

“Pada masa sama perayu menegaskan beliau diperangkap dalam satu konspirasi dirancang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low); bekas Ketua Setiausaha Sulit, Allahyarham Datuk Azlin Alias dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil serta pegawai bank.

Related posts

Leave a Comment