PUTRAJAYA 21 Ogos – Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri Yaakob berjaya mencapai perkara yang sukar dipersetujui sebelum ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat dengan kestabilan dan kelulusan pelbagai rang undang-undang (RUU) di Parlimen.
Katanya , dalam tempoh satu tahun ini, kerajaan yang dianggap kerajaan sementara, berjaya mencapai perkara yang sukar dicapai sebelum ini seperti RUU yang susah nak dilaksanakan, dapat diluluskan dalam tempoh 12 bulan sahaja.
“Sama juga isu kesihatan, saya cakap kepada Perdana Menteri minta buat sesuatu untuk masa depan, bukan sekadar ingat pilihan raya. Sebab itu Perdana Menteri setuju bawa (RUU), untuk wujudkan negara bebas asap rokok di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Berkongsi pengalamannya berkaitan Covid-19, Khairy berkata, beliau masih ingat kali pertama dihubungi Ismail Sabri yang memintanya untuk menerajui Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani pandemik itu.
Katanya, biarpun tidak memiliki latar belakang dalam bidang kesihatan sebaliknya ekonomi, beliau memiliki pandangan luas untuk menyelesaikan pandemik yang melanda negara.
“Saya melihat pendekatan ketika itu adalah lebih membendung, jadi saya mengarahkan KKM untuk kita melihat bagaimana bukan hanya selamatkan nyawa, tetapi pada masa sama kita dapat pelihara kehidupan rakyat.
“Kita jangan hanya fokus kepada langkah seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kita sudah mempunyai senjata ampuh iaitu vaksinasi,” katanya.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau sedar ramai yang marahkannya kerana bertegas dalam isu vaksinasi, namun imunisasi itu menjadi faktor membawa negara keluar daripada situasi rumit disebabkan Covid-19.
“Saya tahu ramai marah kata saya tegas, paksa dalam isu vaksin, saya tidak akan meminta maaf sebab kalau kita lihat hari ini, kejayaan kita keluar daripada Covid-19 adalah disebabkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) antara yang terbaik di dunia.
“Kajian dibuat Institut Penyelidikan Klinikal di bawah KKM menunjukkan bahawa program vaksinasi kita menyelamatkan tidak kurang daripada 17,000 nyawa.
“Sebab itu kita yakin apabila varian Omicron datang pada Januari dan Februari lalu, menjelang Mac saya ambil keputusan selepas membuat penilaian risiko dengan memberi nasihat kepada Perdana Menteri iaitu pada 1 April boleh diumumkan sebagai tarikh bersejarah dalam perjuangan kita menentang pandemik, iaitu buka sempadan dan kita beralih ke fasa peralihan ke endemik,” katanya
