PN yakin menang besar – Muhyiddin

MARANG 31 Julai – Perikatan Nasional (PN) yakin gabungan Pas, Bersatu dan Gerakan mampu memberi kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15), kata Pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata sebagai persediaan menghadapi pilihan raya itu, PN juga sudah membuat keputusan untuk menyelesaikan pembahagian kerusi pada mesyuarat lalu.

“Pada mesyuarat PN yang baru lalu, kita sudah buat keputusan tak nak lengah-lengah, mahu selesaikan segera pembahagian kerusi di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Parti Perikatan Nasional

Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Tok Guru Masjid Rusila, di sini, malam tadi.

Majlis yang dihadiri kira-kira 10,000 ahli parti itu turut disertai Timbalan Pengerusi PN, Abdul Hadi Awang, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Bersatu Terengganu, Razali Idris.

Beliau berkata, bagi memastikan kemenangan pilihan raya adalah satu tugas besar, jentera parti perlu diperkukuhkan untuk menentukan supaya rakyat faham apakah perjuangan parti berkenaan.

“Dengan gabungan parti, bekerja keras dan yakin, Insya-Allah boleh menang PRU….yakin menang besar. Ini bukan takabur tetapi realiti. Dengan sokongan tidak besar mana dari Bersatu, saya yakin kita boleh menang seratus peratus,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau tidak kecewa selepas Barisan Nasional (BN) menolak Bersatu daripada bergabung dalam Muafakat Nasional (MN).

“Namun saya yakin jika kerjasama parti Melayu Islam (BN, Bersatu dan Pas) dalam MN benar-benar terjalin, saya pasti kita boleh menang dengan lebih 2/3 pertiga tetapi malangnya sehingga hampir satu tahun…saya kira lebih… sampai hari ini, UMNO buat keputusan menolak kami (Bersatu dan Pas) menyertai MN.

“Tidak terima tak apa…kita ada Pas…abah kita ada kat sini….ini abah saya (Abdul Hadi). Kita sama-sama dengan nawaitu yang sama, kita rasa kita boleh berusaha.

“Gabungan ikatan persaudaraan kita sekuat-kuat yang mungkin, bekerja keras, memikul amanah dan tanggungjawab, saya percaya dengan izin Allah kita akan berjaya pada pilihanraya nanti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment