UDA diberi dana RM100 juta

PETALING JAYA 25 Julai – UDA Holdings Berhad (UDA) yang mencapai usia 50 tahun  memperoleh dana berjumlah RM100 juta bagi membangunkan pusat komersial dan membantu usahawan Bumiputera mendapatkan ruang perniagaan.

Perdana Menteri  Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan dana itu berkata, status sosio ekonomi Bumiputera masih di tahap rendah dan pembabitan usahawan golongan itu perlu dipertingkatkan.

Pembabitan mereka bukan lagi sekadar di sektor informal tetapi sektor formal seperti menjalankan perniagaan di pusat beli-belah yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, kerajaan akan menyemak semula pengurusan pusat beli-belah dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya diuruskan syarikat tempatan sekali gus membolehkan peniaga Bumiputera menjalankan perniagaan mereka.

“Penyediaan ruang niaga yang kondusif di kompleks beli-belah UDA lebih-lebih lagi dengan lokasinya yang strategik, menggambarkan UDA sentiasa fokus dalam memperkasa Keluarga Usahawan serta membuka peluang bagi mereka menjalankan perniagaan di kawasan maju dan kompetitif.

Justeru, saya menyeru supaya UDA dapat menjual atau menyewakan ruang perniagaan yang sedia ada pada kadar mampu ditanggung usahawan Bumiputera yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka.

“Ini untuk membolehkan usahawan Bumiputera berniaga dalam suasana lebih selesa dan dalam masa sama dapat meningkatkan status mereka sebagai usahawan berjaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 UDA dan pelancaran penjenamaan baharu ‘Life’ di sebuah hotel di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noh Omar serta Pengerusi UDA, Norliza Abdul Rahim.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, UDA perlu menggandakan pembabitan dalam sektor perniagaan dan hartanah bagi merancakkan semula ekonomi khususnya dalam membantu usahawan Bumiputera untuk terus maju.

Katanya, kerajaan juga sentiasa komited dalam memperkasa Bumiputera dengan peruntukan sebanyak RM11.4 bilion dalam Bajet 2022.

Beliau turut berbangga dengan kejayaan UDA selama 50 tahun membantu membangunkan negara yang menyinari kehidupan masyarakat seperti yang diabadikan dalam buku ‘UDA 50 Tahun, Bersama Meneruskan Legasi’ yang dilancarkan pada majlis itu.

“Saya berharap pencapaian ini akan menyemarakkan lagi keazaman generasi masa kini untuk terus melakar kejayaan seperti yang dikecapi UDA,” katanya.

Bagaimanapun Perdana Menteri mengingatkan UDA supaya tidak harus puas hati atas pencapaian selama ini kerana sektor hartanah dan perniagaan sentiasa berkembang.

Related posts

Leave a Comment