407 kes cacar monyet di Itali

ROM: Sebanyak 407 kes cacar monyet telah direkodkan di Itali, bagaimanapun keadaan terkawal, kata Ketua Pengarah bahagian Pencegahan Kementerian Kesihatan negara itu, Gianni Rezza.

Beliau berkata, walaupun wabak cacar monyet diisytihar darurat kesihatan global, ‘buat masa ini kebanyakan kes tertumpu dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, terutamanya mereka yang mempunyai ramai pasangan seksual’.

Pada masa yang sama, beliau menyeru semua negara untuk bekerjasama rapat dengan kumpulan yang terjejas, meningkatkan kempen kesedaran, dan memberi amaran terhadap diskriminasi dan stigma.

Semalam, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan bahawa wabak cacar monyet diisytihar darurat kesihatan global.

Menurut Tedros, lebih 16,000 kes cacar monyet telah direkodkan di 75 negara dan wilayah, dengan lima kematian setakat ini.

Kebanyakan pesakit pulih daripada jangkitan wabak itu selepas beberapa minggu tanpa rawatan.

Menurut WHO, cacar monyet lebih menjejaskan kanak-kanak kecil, wanita hamil, dan individu yang mengalami gangguan sistem imun.

Virus cacar monyet tidak mudah berjangkit dan biasanya akan merebak melalui kontak fizikal yang rapat, termasuk hubungan seksual dengan individu yang dijangkiti.

Ia boleh menjangkiti tubuh manusia melalui saluran pernafasan, mata, hidung dan mulut, dan melalui cecair badan.

Related posts

Leave a Comment