88 peratus ibu bapa sokong larangan

SYDNEY – Larangan penggunaan media sosial bagi golongan bawah 16 tahun di Australia mendapat sokongan 88 peratus ibu bapa yang ditinjau pendapat walaupun majoriti mereka sendiri menggunakan media sosial setiap hari.

Laporan oleh Edith Cowan University (ECU) dan Playgroup WA di negeri Australia Barat (WA) itu membuat tinjauan ke atas 726 ibu bapa di WA yang mempunyai anak berusia lapan tahun dan ke bawah.

Tinjauan dibuat mengenai penggunaan media sosial serta kesannya terhadap kehidupan sebagai ibu bapa, menurut kenyataan ECU pada Khamis.

Kajian itu mendapati media sosial sudah sebati dalam kehidupan keluarga, dengan ibu bapa menggunakannya setiap hari untuk mendapatkan maklumat, sokongan dan berhubung dengan orang lain.

Bagaimanapun pada masa sama, mereka semakin menyedari risikonya dan menyokong perlindungan yang lebih kukuh untuk kanak-kanak dalam talian.

Laporan itu mendapati 44 peratus ibu bapa berpendapat media sosial memberikan kesan agak negatif atau sangat negatif terhadap kehidupan mereka, berbanding 22 peratus yang melaporkan kesan positif.

Ibu bapa menyatakan kebimbangan mengenai kerentanan kanak-kanak, perkembangan otak, buli, ketagihan serta pemangsa dalam talian ketika menyokong penangguhan akses kanak-kanak kepada media sosial.

Dalam pada itu separuh daripada responden pula berpendapat kanak-kanak sepatutnya berumur sekurang-kurangnya 16 tahun sebelum memiliki telefon pintar yang mempunyai akses internet.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment